May 30, 2023

Vaksin Covid-19 : Orang Asli Yang Telah Terima, Jadi Duta Di Pedalaman

2 min read

Masyarakat orang Asli yang telah menerima vaksin Covid-19 akan menjadi duta di kampung masing-masing bagi meningkatkan kesedaran sekali gus menambah jumlah golongan masyarakat tersebut yang bersetuju menerima vaksin.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata, sehubungan itu, pihaknya berharap duta yang dilantik itu dapat menyampaikan maklumat yang sahih dan tepat kepada penduduk di kampung masing-masing.

“Saya juga berharap mereka dapat berkongsi pengalaman dengan anak buah dan penduduk kampung masing-masing menggunakan bahasa suku kaum masing-masing.

“Apabila mereka (masyarakat orang Asli) mula melihat Tok Batin serta beberapa penduduk mula menerima suntikan dan tidak mengalami implikasi mereka akan mula menerima untuk mengambil suntikan vaksin Covid-19 berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Duta Vaksin Orang Asli Daerah Seremban di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Ismail Ahmad dan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) negeri, Shahrani Idderis.

Seramai 420 daripada 2,990 masyarakat orang Asli dari 12 kampung orang Asli di daerah ini beserta 30 orang kakitangan Jakoa menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 mereka pada hari ini.

Sementara itu, seorang duta vaksin yang ditemui, Emi Redziana Rahim, 39, berkata, dia juga sebelum ini bimbang setelah mendengar pelbagai andaian mengenai suntikan vaksin Covid-19.

“Jika sebelum ini saya mendengar pelbagai andaian mengenai vaksin ini dan mula rasa bimbang. Namun selepas melihat tiada implikasi kepada penerima vaksin sebelum ini dan saya juga telah ambil vaksin ini, saya merasa lega.

“Atas dasar tanggungjawab, apabila saya sudah dilantik sebagai duta vaksin ini, saya mahu menyeru agar Orang Asli yang bimbang supaya menerima vaksin ini bagi melindungi diri masing-masing,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *