December 8, 2023

Benarkah Islam Izinkan Kita Menafsir Mimpi?

2 min read

Dalam Islam, mentafsir mimpi dibenarkan dan hukumnya harus. Tetapi ia perlulah berlandaskan kebenaran serta pengalaman bukannya tafsiran secara logik semata.

Imam Ibnu Sirin, dalam bukunya ‘Tafsir Mimpi Menurut Islam’, menyatakan, tidak semua mimpi dapat ditafsirkan makna yang terkandung di dalamnya. Ada kalanya mimpi bagaikan angin lalu namun ada yang benar-benar menjadi kenyataan.

Mimpi insan yang bertakwa merupakan perkhabaran yang akan berlaku, kerana Rasulullah s.a.w. tidak bermimpi melainkan mimpi Baginda menjadi kenyataan.

Sedangkan mimpi insan yang tidak beriman merupakan berita yang disebarkan oleh syaitan.

Dalam suatu riwayat dikisahkan, seorang wanita bertanya,

“Wahai Rasulullah! Sesungguhnya saya bermimpi melihat sebahagian tubuh Baginda berada di rumahku.” Baginda menjawab, “Sesungguhnya Fatimah akan melahirkan seorang anak lelaki, kemudian engkau yang akan menyusukannya.”

Tidak lama kemudian Fatimah melahirkan Hussein dan disusukan oleh wanita tersebut. Sesungguhnya mimpi itu dapat ditafsirkan, namun tidak semua orang mampu mentafsirkan kebenarannya.

Dalam al-Quran juga ada disebutkan perihal tafsir mimpi. Ia boleh dirujuk dari kisah Nabi Yusuf a.s. Nabi Yusuf a.s. adalah seorang nabi yang mempunyai kepandaian serta kelebihan untuk mentafsir mimpi.

Satu ketika, Nabi Yusuf a.s. pernah mentafsir mimpi Raja Mesir. Ia boleh dirujuk dalam surah Yusuf ayat 43 hingga 49.

“Sesungguhnya aku bermimpi melihat tujuh ekor sapi betina gemuk, tujuh ekor sapi betina kurus dan tujuh tangkai gandum hijau serta tujuh tangkai lain yang kering.

Wahai orang-orang terkemuka terangkanlah kepadaku mengenai erti mimpiku itu jika kamu dapat mentafsirkan mimpi. Mereka berkata; itu adalah mimpi yang kacau dan kami sekali-kali tidak mahu mentadbirkan mimpi seperti itu.

“Manakala Yusuf berkata: Mimpi itu supaya kamu bercucuk tanam selama tujuh tahun seperti biasa, apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan di tangkainya, melainkan sedikit untuk kamu makan.

“Kemudian, datang tujuh tahun yang amat sukar, musim kemarau menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapi tahun sukar, melainkan sedikit daripada gandum yang kamu simpan.

Orang beriman boleh jadi mimpinya benar dan bukan mainan syaitan

Kemudian akan datang tahun yang manusia diberi hujan dengan cukup dan pada masa itu mereka memerah anggur.”

Nabi Yusuf akhirnya diangkat menjadi bendahara Mesir. Selepas tujuh tahun Nabi Yusuf memegang tugas kerajaan itu, musim kemarau, kering dan kelaparan berlaku seperti yang ditafsirkannya.

Bagaimanapun, kerajaan Mesir mempunyai bekalan makanan untuk menghadapi musim kebuluran itu, sehingga penduduk di negeri jiran mengunjungi Mesir untuk mendapatkan bantuan.

Ilmu tafsir mimpi sukar dipelajari

Itu adalah mukjizat yang diberikan Allah kepada Nabi Yusuf a.s. Namun dalam Islam sendiri pun ada mengajar mengenai tafsiran mimpi. Namun, seseorang yang mahu mentafsir mimpi perlulah mentafsir mimpi secara baik.

Selain itu, dia perlulah seseorang yang arif serta mempunyai ilmu agama. Dengan kata lain, seseorang yang alim. Mimpi diakui adanya dalam syariat Islam. Sedangkan ilmu untuk mentakwilkan, mentadbirkan atau mentafsirkannya diiktiraf oleh ramai ulama.

Ramai ulama yang ingin mendalami masalah takwil atau tafsir mimpi tetapi tidak ramai yang mengetahuinya kerana ia merupakan satu ilmu yang sukar untuk dipelajari. Wallahu a’lam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *