September 24, 2023

DARI MATA KITA : Malaysia Ada Pengalaman Luas Laksana Proses Imunisasi Besar-Besaran

2 min read

 

Negara kita mungkin kali pertama berdepan krisis wabak seteruk COVID-19 yang menyebabkan seluruh dunia lumpuh sejak tahun 2019 sehingga sekarang tetapi negara kita ada pengalaman yang begitu lama dalam satu antara jalan keluar dari pandemik ini iaitu vaksinasi.

Kita bukan baru kali ini mula memberikan suntikan vaksin secara besar-besaran kepada warganegara Malaysia sebaliknya ia telah bermula 64 tahun lepas dan ia berjaya menyelamatkan jutaan nyawa.

Sejarah pemberian vaksin bermula pada tahun 1957 apabila pada masa itu bermulanya Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) untuk memberikan imunisasi kepada orang ramai khususnya kanak-kanak untuk menyelamatkan mereka dari kesan buruk penyakit-penyakit berbahaya.

Adakah anda sedar bahawa kita sudah menerima suntikan imunisasi sejak kita berumur seawal 1 hari?

Program NIP ini diperkenalkan untuk memberikan suntikan secara percuma untuk melindungi kanak-kanak dari penyakit seperti tuberculosis (TB), Hepatitis B, difteria, pertussis (batuk kokol), polio, measles (campak), mumps (beguk), rubella, human papillomavirus (HPV) dan Japanese encephalitis (JE).

Negara kita juga ada jadual imunisasi untuk warganegara bermula dari sejuruh selepas dilahirkan sehingga berumur kira-kira 15 tahun.

Apabila kita lahir, vaksin pertama yang akan diterima ialah vaksin untuk penyakit TB yang dikenali sebagai Bacilie Calmette-Guerin (BCG) dan imunisasi Hepatitis B Monovalen. Kedua-duanya ialah dos peringkat pertama pada umur berkenaan.

Anda juga pasti masih ingat ketika ramai-ramai bersama rakan menerima suntikan di sekolah rendah.

Berbekalkan pengalaman ini, Malaysia melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) untuk memberikan suntikan vaksin COVID-19 kepada seluruh rakyat Malaysia untuk memberikan perlindungan daripada kesan buruk penyakit yang dibawa oleh virus SARS-CoV2 itu.

Oleh sebab itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dengan kerjasama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menggerakkan PICK dengan pantas dan efisien untuk capai matlamat imuniti kelompok dalam kalangan rakyat Malaysia.

Dengan kejayaan itu, rakyat Malaysia boleh kembali jalani kehidupan secara normal seperti masa sebelum negara ini dilanda COVID-19.

Kesedaran rakyat yang tahu kebaikan serta keutamaan vaksinasi membuatkan proses pemberian vaksin boleh dilakukan dengan lancar.

Menurut Dr Adham, sejak dulu kerajaan memastikan melalui ujian dan kajian yang rapi bahawa vaksin yang akan disuntik kepada rakyat Malaysia adalah selamat, berkesan dan berkualiti serta akan memberikan perlindungan daripada kesan buruk penyakit berbahaya. – SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *