December 9, 2022

Mohon Keluar i-Citra KWSP Mulai 15 Julai Ini Di Portal KWSP

1 min read

Para pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh mula memohon pengeluaran i-Citra melalui portal icitra.kwsp.gov.my mulai 15 Julai 2021.

KWSP dalam kenyataannya berkata, pembayaran pertama dijangka dikreditkan dalam akaun ahli pada bulan Ogos 2021.

Semua ahli di bawah umur 55 tahun layak untuk memohon i-Citra, yang membolehkan mereka mengeluarkan sehingga maksimum RM5,000 tertakluk kepada jumlah baki di kedua-dua Akaun 1 dan 2.

Jumlah pengeluaran yang diluluskan akan dibayar untuk tempoh sehingga lima bulan dengan bayaran bulanan sebanyak RM1,000 sebulan tertakluk kepada baki simpanan atau minimum RM50.

Menurutnya, nombor telefon bimbit yang telah dikemas kini untuk menerima Transaction Authorisation Code (TAC) dan akaun bank peribadi aktif diperlukan untuk memudahkan proses permohonan.

i-Citra diperkenalkan sebagai inisiatif bagi membantu ahli menghadapi cabaran dan diusahakan setelah dipertimbangkan dengan teliti cara terbaik untuk membantu ahli yang terjejas sekali gus berpegang kepada mandat KWSP.

KWSP berkata, organisasi itu komited untuk membantu melindungi dana persaraan ahli serta maklum perlunya keseimbangan bagi keperluan semasa dengan simpanan masa depan dan kemudahan sementara bagi membantu ahli dalam menghadapi pandemik ini.

Untuk maklumat lebih lanjut, ahli boleh merujuk laman web KWSP di www.kwsp.gov.my, atau menghubungi Hotline i-Citra di talian 03-8922 4848.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *