Selangor Akan Terima 4,008,710 Dos Vaksin Covid-19 Pada Julai
1 min read
Selangor akan menerima sejumlah 4,008,710 dos vaksin COVID-19 pada Julai, iaitu jumlah tertinggi berbanding negeri-negeri lain.
Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor Dr Siti Mariah Mahmud menerusi hantarannya di Twitter @DrSitiMariah berkata perkara itu dimaklumkan ketika beliau menghadiri mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), pagi tadi.
CITF merupakan pasukan petugas khas untuk menguruskan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) diketuai Khairy Jamaluddin.
“Selangor akan dapat 4,008,710 dos vaksin untuk Julai. Bekalan yang tertinggi. Terima kasih Yang Berhormat Menteri (Khairy). I will be in your meeting Insya-Allah without fail (saya akan sentiasa hadir dalam mesyuarat anda, Insya-Allah).
Dr Mariah turut bergurau dalam Twitternya itu “Alhamdulillah, your nose tak panjang tadi (dengan emoji senyum) Normal. Mohon maaf dunia akhirat @Khairykj”.
Beliau turut berkongsi gambar berkenaan peruntukan bekalan dan pengedaran vaksin pada Julai bagi semua negeri yang menunjukkan Selangor menerima jumlah vaksin tertinggi diikuti Sarawak yang akan menerima 2,389,582 juta dos vaksin, Kuala Lumpur dan Putrajaya 1,614,421 dan Johor 950,618. – BERNAMA