August 15, 2022

Cikgu ‘Korbankan’ Duit Gaji Sendiri Untuk Bantu Penduduk Terkesan PKP

2 min read

Seramai 34 guru Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Kota Gelanggi Dua di sini sanggup ‘mengorbankan’ gaji bulanan untuk disumbangkan ke Tabung Bantuan PKP untuk membantu penduduk yang memerlukan berikutan tekanan perbelanjaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Tabung Bantuan PKP SK Felda Kota Gelanggi Dua, Mohd. Jusni Yusof berkata, guru terlibat simpati apabila ramai kalangan rakyat yang terdiri daripada warga emas, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) berdepan kesusahan hidup sejak penguatkuasaan sekatan pergerakan penuh.

“Guru di sini bersepakat menyumbangkan sebahagian gaji bulanan dikumpulkan dalam Tabung Bantuan PKP sekolah bagi menyediakan barang keperluan dapur sebagai bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Kita merasai denyut kesusahan penduduk berkenaan dalam tempoh penguatkuasaan PKP

berikutan kebanyakannya tidak lagi bekerja, tanggungan ramai lebih-lebih lagi warga emas, ibu tunggal, pesakit kronik dan OKU,” katanya di Felda Kota Gelanggi Dua dekat sini semalam.

Mohd. Jusni berkata, sehingga kini, seramai 50 ketua keluarga dan individu yang memerlukan di Felda Kota Gelanggi Dua dan Felda Kota Gelanggi Empat telah menerima infak barang keperluan dapur yang membabitkan nilai keseluruhan dana RM3,000 hasil terkumpul daripada gaji bulanan guru.

“Kita akan terus mengumpul dana untuk program bantuan ini dalam masa terdekat melalui gaji bulanan guru di samping berharap ada bekas pelajar sekolah ini yang mampu beramal jariah untuk membantu usaha murni guru di sini,” ujarnya.

Beliau berkata, barang keperluan dapur yang diinfak seperti beras, gula, susu, minyak masak, tepung gandum, roti, telur dan ayam yang disumbangkan secara ‘pandu dan lalu’ di luar pintu pagar sekolah berkenaan.

Sementara itu, Setiausaha Tabung Bantuan, Razidah A. Kadir berkata, guru di sini beristiqamah dan bersepakat menghulurkan bantuan berasaskan nilai kemanusiaan dan tolong-menolong sesama insan ketika ditimpa kesusahan berasaskan ajaran Islam.

“Lagipun, kebanyakan penduduk yang memerlukan ini mempunyai tanggungan ramai anak dan anak mereka merupakan murid di sekolah ini,” katanya.

Bekas pelajar SK Felda Kota Gelanggi Dua dan orang ramai yang ingin beramal jariah membuat sumbangan boleh menghubungi Mohd. Jusni menerusi talian 011-25098660 atau Razidah (011-31574073).

Leave a Reply

Your email address will not be published.