December 8, 2022

‘Hantu Durian’ Peruntukkan RM1,000 Sebulan Untuk Beli Durian ‘Kayangan’

2 min read

Harganya yang mahal bukan penghalang bagi pengemar durian menikmati keenakan buah itu sekalipun ketika musim pandemik Covid-19.

Malah, rata-rata mereka sanggup berbelanja besar sehingga ribuan ringgit semata-mata mahu menikmati keenakan durian musing king, duri hitam dan udang merah.

Tiada istilah rugi atau membazir bagi ‘hantu’ durian biarpun perlu mengeluarkan duit yang banyak.

Di Raub, seorang pe­minat durian, Vincent Chong, 57, berkata, dia memperuntukkan sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan untuk membeli durian ‘kayangan’ jenis duri hitam dan musang king.

“Memang durian duri hitam mahal, harga sebiji pun cecah RM200, tetapi rasanya memang sedap, kalau letak dalam peti sejuk rasanya seperti aiskrim.

“Setiap kali tiba musimnya, saya mesti beli durian duri hitam, sekurang-kurang sebiji selain jenis musang king,” katanya di sini semalam.

Vincent memberitahu, dia dan rakan-rakannya sentiasa berkongsi maklumat mengenai raja buah itu.

“Pada masa ini, saya juga sering membantu rakan-rakan membeli durian musang king dari Raub dan kami masih me­nunggu ketibaan musim durian duri hitam yang dijangka luruh pada Ogos ini,” katanya.

Di George Town, seorang pengusaha kedai makan, Mohamad Fauzi Ismail, 44, juga berbelanja lebih RM1,000 semata-mata mahu menikmati durian udang merah kegemarannya sekeluarga.

“Saya akan membeli durian dalam tempoh selang sehari dengan harga antara RM100 hingga RM200 untuk dinikmati bersama isteri serta dua anak yang berusia 6 dan 8 tahun.

“Saya tidak membeli banyak kerana menggemari buah yang segar dan hanya membeli buah yang baru gugur untuk dimakan terus,” katanya.

Menurutnya, penggemar durian kebiasaannya me­nganggap durian kampung kurang sedap, jadi mereka memilih untuk ber­belanja lebih dengan membeli durian premium demi kepuasan.

“Saya sudah makan durian duri hitam dan musang king, namun keenakanya tidak sama dengan udang merah yang lebih manis, berkrim, berisi tebal serta warna yang menarik,” ujarnya.

Mohamad Fauzi berpendapat, buah durian daripada pokok tua sebenarnya lebih enak berban­ding pokok yang masih muda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *