September 24, 2023

Kerajaan Digesa Tambah Jawatan Tetap UD43/44

1 min read

Kerajaan digesa untuk menambah bilangan jawatan tetap Pegawai Perubatan Gred UD43/44 mengikut bilangan yang realistik bagi keperluan negara ketika ini.

Setiausaha Persatuan Alumni Doktor Universiti Sains Malaysia (PADU), Prof. Madya Dr. Wan Faiziah Wan Abdul Rahman berkata, gesaan itu turut mengambil kira peluang menyambung kepakaran demi kesinambungan mutu perkhidmatan pegawai perubatan tempatan.

“Kerajaan juga perlu memberi emolumen yang setara dengan rakan sekerja yang berstatus Pegawai Perubatan Tetap meliputi kelayakan yang boleh diperolehi oleh mereka.

“Antaranya seperti cuti khas perubatan, cuti tanpa rekod untuk tujuan peperiksaan, cuti sakit atau kemalangan dan peluang hadiah latihan Persekutuan,” jelasnya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai seramai 23, 077 pegawai perubatan UD41 yang dilantik secara kontrak sejak 2016, namun didapati tiada penambahbaikan sehingga kini apabila hanya 30 peratus daripada kohort tersebut yang ditawarkan ke pelantikan tetap.

Bakinya pula masih lagi berstatus kontrak tanpa jaminan untuk disambung dan kontrak tersebut didapati akan berakhir pada Disember 2021.

Tambah Wan Faiziah, polisi dan strategi yang jelas dan sistematik perlu dilaksanakan segera oleh kerajaan bagi mengatasi permasalahan ini dari terus membelenggu mereka yang terlibat.

“Kami meletakkan harapan yang tinggi kepada pihak kerajaan agar dapat mencari jalan keluar bagi masalah ini demi keharmonian fraterniti perubatan dan doktor-doktor junior kami,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *