Kematian Akibat Covid-19 Meningkat, Termasuklah Kematian Tanpa Sejarah Penyakit
2 min read
SELEPAS tiga hari merekodkan penurunan, hari ini kes kematian akibat COVID-19 kembali melebihi angka 100.
Sebanyak 107 korban angkara wabak itu dilaporkan sekali gus menjadikan kumulatif kematian meningkat kepada 5,434 kes.
Kali terakhir negara merekodkan kematian melebihi 100 adalah pada 29 Jun lalu juga sebanyak 107 kes.
Kes kematian yang dikesan hari ini melibatkan seramai 98 warganegara manakala sembilan lagi bukan rakyat Malaysia.
Lebih membimbangkan, sebanyak 18 lagi kes kematian dikesan hari ini tiada mempunyai sejarah penyakit lain.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, kes kematian tertinggi hari ini dicatatkan di Selangor iaitu 51 korban.
Beliau berkata, ia diikuti 21 kes di Kuala Lumpur dan 11 kes dilaporkan di Negeri Sembilan.
“Sebanyak enam kes telah dikesan di Johor serta masing-masing lima kes di Kedah dan Pahang.
Baca artikel berkaitan: Dua lelaki berusia 20-an antara 73 korban COVID-19
21 kluster, 11 libat tempat kerja, 84 kematian
62 kematian, 23 kluster, 13 libat tempat kerja
“Selain itu, Melaka merekodkan empat kes dan masing-masing satu di Sabah, Sarawak, Perak dan Labuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Dr. Noor Hisham, korban termuda hari ini melibatkan seorang lelaki berusia 27 tahun di Melaka yang menghadapi masalah obesiti.
Kes itu juga merupakan kes Brought in Dead (BID) atau jenazah dibawa ke hospital iaitu ke Hospital Alor Gajah.
Sementara itu, kes kematian tertua pula membabitkan warga emas berusia 92 tahun meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras yang mempunyai sejarah penyakit kencing manis dan buah pinggang.
Katanya, sebanyak 14 kes yang dilaporkan hari ini turut melibatkan BID termasuk seorang wanita berusia 34 tahun yang mempunyai sejarah kencing manis dan darah tinggi.
Beliau berkata, kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) masih tinggi iaitu berjumlah 892 kes dengan 443 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.