September 27, 2023

Perdana Menteri Pengerusikan Sidang Khas MKN Dari Hospital

1 min read

TAN Sri Muhyiddin Yassin hari ini mempengerusikan mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui sidang video dari hospital bagi membincangkan perkembangan situasi pandemik Covid-19 di dalam negara.

Dalam kenyataan melalui Facebook beliau, Perdana Menteri berkata, antara perbincangan termasuklah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang sedang berkuatkuasa di mukim-mukim di Selangor dan 14 lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta laporan pemantauan setiap negeri di dalam fasa pemulihan negara.

”Alhamdulillah, selain lima buah negeri yang telah pun beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), terdapat beberapa buah negeri lagi yang menunjukkan perkembangan yang amat baik dan berpotensi untuk mencapai ketiga-tiga indikator nilai ambang utama dalam waktu terdekat,’’ katanya.

Muhyiddin yang dimasukkan ke hospital pada 30 Jun lalu akibat jangkitan pada sistem penghadaman dijangka dibenarkan keluar dalam tempoh beberapa hari lagi.

Perdana Menteri seterusnya berharap situasi pandemik di negara kita dapat terus dikawal dan lebih ramai rakyat dapat divaksin dalam masa terdekat dengan penerimaan bekalan vaksin yang lebih banyak pada bulan ini.

‘’Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada sukarelawan badan-badan amal, parti-parti politik, pihak swasta dan orang ramai yang tampil menghulur bantuan kepada rakyat Malaysia yang memerlukan pada masa ini di samping bantuan-bantuan disampaikan oleh pihak kerajaan. Semoga amal jariah anda semua diberikan ganjaran oleh Allah SWT,’’ katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *