August 15, 2022

Kastam Berjaya Sita Air Zam Zam Bernilai RM206,250

2 min read

UMUM mengetahui air zam zam mempunyai banyak khasiat dan kelebihan tersendiri malah merupakan air yang diberkati.

Keistimewaan dimiliki air zam zam menerusi kandungan bahan galian di dalamnya juga sekali gus menjadikan ia sebagai sebaik-baik air.

Penjualan air zam zam di pasaran negara ini pula tidak dibenarkan kerana ia tergolong dalam kategori air mineral dan tertakluk kepada pelesenan malah Kerajaan Arab Saudi sendiri tidak pernah mengeluarkan kebenaran untuk mengeksport air tersebut.

Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi satu kenyataan juga pernah memaklumkan individu yang ditahan menjual air zam zam boleh berdepan tindakan undang-undang.

Namun begitu, penguatkuasaan undang-undang itu tidak menghalang individu untuk cuba menyeludup masuk air zam zam ke negara ini.

Jumaat lalu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit III (LTA Kuala Lumpur) telah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk air zam zam dari Arab Saudi di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zazuli Johan berkata, tindakan pantas JKDM itu telah menyaksikan sebanyak 27,500 liter air zam zam berjaya disita daripada sebuah kontena.

Menurut beliau, jumlah keseluruhan sitaan bernilai RM206,250 dan melibatkan cukai sebanyak RM66,000.

Katanya, siasatan mendapati kesemua air zam zam itu diimport dari Arab Saudi tanpa permit import yang sah dan tanpa membayar cukai serta duti ke atasnya.

“Modus operandi kes ini ialah membuat pengikraran tidak benar terhadap pengimportan air zam zam.

“Mereka mengikrar dagangan ini sebagai jus dan air minuman di dalam daftar masuk bertujuan mengelakkan permit import semasa pengimportan dan dikenakan duti cukai yang tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Zazuli berkata, air zam zam diklasifikasikan sebagai barang larangan import di bawah Butiran 74, Jadual Ketiga, Bahagian 1 Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

Kata beliau, perbuatan mengimport air zam zam juga merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Peraturan 30(1) Peraturan-Peraturan Zon Bebas (Pindaan) 2019.

“Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada sepuluh kali nilai barang atau RM100,000, mana lebih besar dan tidak lebih dua puluh kali ganda nilai barang atau RM500,000 mana lebih besar atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

“Peraturan 30(1) Peraturan-Peraturan Zon Bebas (Pindaan) 2019 pula memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali,” jelas beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published.