September 27, 2023

Pfizer, Moderna Diakui Berkesan Terhadap Varian Paling Ganas Lambda

1 min read

Satu kajian baharu menunjukkan vaksin Pfizer dan Moderna mempunyai tindak balas berkesan terhadap varian baharu Covid-19, Lambda yang pertama kali dikesan di Peru, lapor akhbar The Sun kelmarin.

Setakat ini, varian itu sudah pun dikesan di 30 negara di seluruh dunia dalam tempoh beberapa minggu sahaja.

Kajian terbaharu Sekolah Perubatan Grossman Universiti New York mendapati vaksin Moderna dan Pfizer mampu melindungi individu daripada varian Lambda pada tahap yang memuaskan.

“Hasil kajian menunjukkan vaksin yang digunakan pada saat ini kekal melindungi individu daripada varian lambda dan terapi antibodi monoklonal adalah efektif.

“Penemuan ini membuktikan kepentingan pemberian vaksin secara meluas yang akan melindungi individu daripada Covid-19, mengurangkan penyebaran virus dan melambatkan kemunculan varian baharu,” tulis kajian itu.

Varian Lambda menimbulkan kebimbangan kopada ahli epidemiologi kerana lonjakan protein L452Q yang ditemui di dalamnya berpotensi menjangkiti sel manusia seperti mutasi L452R dalam varian Delta sekali gus menjadikannya sangat mudah berjangkit.

Badan Kesihatan Awam England (PHE) mengklasifikasikan varian Lambda sebagai varian Covid-19 di bawah siasatan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula melabelkan Lambda sebagai Varian Dipantau pada 14 Jun lalu.

WHO mengatakan, varian Lambda mempunyai kadar mutasi yang meningkatkan kemampuan dan potensi kebal vaksin, walaupun belum ada bukti yang cukup untuk mengesahkan kenyataan itu.

Sebanyak 81 peratus kes Covid-19 di Peru kini merangkumi pesakit dengan varian Lambda dan menurut data daripada Universiti John Hopkins, ia adalah negara dengan angka kematian per kapita tertinggi di dunia.

Varian Lambda telah menular di sana sejak Ogos tahun lalu dan sekarang merupakan varian dominan negara Amerika Tengah itu. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *