August 12, 2022

Dunia Sekarang Dalam ‘Titik Bahaya’ Covid-19, Tegas WHO

1 min read

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa dunia kini pada ‘titik bahaya’ dalam menangani pandemik COVID-19.

Tegas Ketua Pengarahnya, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, terlalu banyak negara di seluruh dunia yang merekodkan peningkatan drastik kes harian COVID-19 dan jumlah pesakit yang memerlukan rawatan di hospital.

Menurut data Johns Hopkins University, jumlah kematian global melepasi 4 juta kes pada Rabu dengan lebih 184.9 juta kes jangkitan seluruh dunia.

Justeru, pihaknya menggesa agar setiap kerajaan mengamalkan langkah waspada yang lebih ketat terutamanya dalam melonggarkan sekatan yang dikuatkuasakan bagi membendung penularan yang lebih meluas.

“Dunia ketika ini berada pada titik bahaya dalam menangani pandemik ini. Kita baru sahaja melepasi angka 4 juta kes kematian akibat COVID-19 yang berkemungkinan lebih lagi daripada yang direkodkan.

“Terdapat beberapa negara yang sudah mencapai kadar vaksinasi tinggi dan akan mengagihkan vaksin booster dalam beberapa bulan akan datang serta melonggarkan sekatan awam, seolah-olah pandemik ini sudah berakhir.

“Bagaimanapun, terdapat varian yang sangat cepat menular dan ketidaksamarataan vaksinasi, menyebabkan terlalu banyak negara menyaksikan peningkatan kes secara drastik.

“Ini menyebabkan bekalan oksigen yang tidak mencukupi dan gelombang kematian di Afrika, Asia dan Amerika Latin,” katanya di Geneva pada Rabu.

Pada masa sama, Ketua Teknikal WHO, Maria Van Kerkhove turut menegaskan setiap negara perlu mengambil langkah proaktif bagi membendung penularan pandemik ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published.