December 2, 2022

Negeri Paling Ramai Penduduk Di India Mahu Hadkan Dua Anak Bagi Setiap Pasangan

1 min read

 

Kerajaan Uttar Pradesh mencadangkan undang-undang bertujuan mencegah pasangan daripada mempunyai lebih daripada dua anak.

Ini menjadikan negeri yang diperintah oleh parti Perdana Menteri, Narendra Modi menjadi yang kedua mencadangkan untuk melaksanakan undang-undang berkenaan.

Uttar Pradesh, negeri dengan penduduk paling ramai di India, mempunyai populasi seramai 240 juta menjadikannya yang kelima paling ramai penduduk di dunia.

Kepadatan penduduk di negeri utara negara berkenaan lebih dari dua kali ganda berbanding purata nasional.

Di bawah cadangan kerajaan negeri, pasangan yang mempunyai lebih daripada dua anak tidak akan dibenarkan menerima faedah atau subsidi kerajaan dan dilarang untuk memohon pekerjaan awam negeri.

Undang-undang itu menyatakan, sumber ekologi dan ekonomi terbatas di negeri itu dan terdapat keperluan mendesak agar penyediaan keperluan asas manusia dapat diakses oleh semua rakyat.

Pendapatan per kapita di Uttar Pradesh kurang daripada separuh purata nasional.

Draf undang-undang itu terbuka untuk kenyataan masyarakat hingga bulan Julai dan perlu disahkan oleh penggubal undang-undang negeri.

India yang dijangka mengatasi China sebagai negara paling ramai penduduk dunia pada tahun 2027, tidak memiliki dasar dua anak untuk peringkat nasional.

Negeri Assam, bulan lalu turut mengumumkan rancangan untuk tindakan serupa yang akan menyekat faedah kerajaan daripada keluarga yang mempunyai lebih daripada dua anak.

Draf undang-undang negeri ini merangkumi insentif untuk pasangan dua anak, termasuk pinjaman mudah untuk pembinaan atau pembelian rumah dan rebat pada bil utiliti dan cukai harta tanah.

Leave a Reply

Your email address will not be published.