November 29, 2022

‘Lockdown’ Di Sydney Gagal, Kes Koronavirus Melonjak

2 min read

Australia sekali lagi melaporkan lonjakan kes koronavirus selepas perintah berkurung di bandar terbesar negara itu, Sydney gagal mengekang penularan kluster baharu yang sema­kin meningkat.

Pihak berkuasa kesihatan melaporkan 112 kes di Sydney dalam tempoh 24 jam lalu sekali gus angka tertinggi membabitkan gelombang jangkitan kali ini, walaupun perintah berkurung di kota raya itu memasuki minggu ketiganya.

Virus Covid-19 kini merebak ke kawasan-kawasan penempatan di kota raya Sydney, yang mempunyai lima juta penduduk.

Ketua Menteri New South Wales, Gladys Berejiklian berkata, banyak jangkitan baharu berlaku antara ahli keluarga dan rakan rapat yang bertemu di sebalik larangan pertemuan bukan luar isi rumah.

Penduduk Sydney kini diarah tidak meninggalkan rumah me­lainkan untuk membeli makanan, rawatan perubatan atau senaman harian.

“Sekiranya anda membahayakan diri sendiri, anda juga membahayakan seluruh keluarga, sahabat dan rakan sekerja anda,” kata Berejiklian dalam amarannya.

Pada Sabtu lalu, seorang wanita berusia dalam lingkungan 90-an meninggal dunia beberapa jam setelah positif ujian Covid-19 sekali gus kematian pertama membabitkan jangkitan tempatan di Australia tahun ini.

Perintah berkurung di Sydney dijadualkan berakhir Jumaat ini tetapi pihak berkuasa berkata, sasarannya untuk mengawal kes Covid-19 ‘sangat tidak mungkin’ dapat dicapai.

Bandar itu terputus hubungan hampir sepenuhnya dari seluruh kawasan lain di Australia di bawah sekatan perjalanan tempatan.

Sementara itu, Negeri New South Wales mencatatkan 678 jangkitan baharu sejak gelombang terkini bermula pertengahan Jun lepas.

Walaupun rendah berban­ding kadar jangkitan di tempat-tempat lain di seluruh dunia, Australia telah mengambil pendekatan toleransi sifar terhadap penularan komuniti sepanjang pandemik bermula.

Pihak berkuasa segera melak­sanakan sekatan dalam usaha menghapuskan kelompok awal jang­kitan, manakala sempadan negara itu telah ditutup. Hanya sekitar 10 peratus rakyat Australia menerima pelalian lengkap setakat ini. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published.