December 8, 2022

Orang Ramai Beratur Panjang Gara-Gara Durian Kampung RM5 Sebiji

1 min read

Biarpun terpaksa beratur panjang, orang ramai tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan durian kampung gred B yang dijual pada harga RM5 sebiji.

Penjual durian, Mohamad Johairi Zulkepli, 19, berkata, biarpun dijual pada harga yang murah, namun durian berkenaan berkualiti dan enak dimakan.

“Durian kampung gred B dijual hanya RM5 sebiji tetapi buahnya tetap berkualiti dan bukan ka­tegori untuk dibuat tempoyak,” katanya ketika ditemui di simpang Taman Ipoh Jaya Timur, Ampang di sini kelmarin.

Mohamad Johairi menambah, setiap hari dia dan rakan-rakannya menjual hampir satu tan durian kampung pelbagai gred sejak pertengahan Jun lalu.

Katanya, raja buah yang diperolehi daripada Lenggong itu mula dijual pukul 4 petang dan habis dalam tempoh tiga jam.

“Kita hanya menjual durian kampung tetapi mengikut gred A dan B, buah gred B tetap baik cuma dibezakan daripada segi saiz.

“Bagi durian kampung gred A pula dijual pada harga antara RM10 hingga RM18 sekilogram (kg),” ujarnya,

Tambah Mohamad Johairi, antara yang digemari pelanggan adalah durian kampung kahwin yang dijual pada harga RM18 sekilogram kerana isinya yang tebal, berwarna kuning selain rasanya yang manis berlemak.

Ujarnya, dia turut menjual durian pada harga borong iaitu RM3.50 sekilogram bagi pembe­lian me­lebihi 500 kg.

Menurutnya, musim durian memberi rezeki sampingan kepadanya dan rakan-rakan yang sebelum ini bekerja dengan sebuah syarikat kontraktor tetapi terputus pendapatan apabila banyak kontrak tertangguh.

“Kami telah berniaga sejak pertengahan Jun lalu dan akan terus menjual sehingga musim durian tamat,” jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *