Sudah Lepasi Angka 400,000 Dos Sehari
1 min read
Semalam, 12 Julai 2021, sejumlah 421,479 dos suntikan vaksin COVID-19 diberikan dan ini merupakan jumlah tertinggi pernah diberikan dalam sehari sepanjang Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, PICK.
Menerusi hantaran di Twitter, Menteri Kesihatan Dato’ Sri Dr. Adham Baba berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 264,034 dos pertama dan sejumlah 157,445 adalah untuk pemberian dos kedua.
Sebelum ini, jumlah tertinggi untuk pemberian suntikan vaksin COVID-19 dalam sehari adalah 376,909 dos pada 9 Julai lalu.
Kemajuan kadar vaksinasi harian di Malaysia yang kini melepasi kadar purata per kapita vaksinasi dunia, memberi gambaran negara berada di landasan yang tepat dalam usaha mencapai imuniti kelompok, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu sidang media semalam.
Beliau berkata, perkembangan itu membolehkan negara mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat dan seterusnya dapat kembali kepada kehidupan normal seperti sedia kala.