December 2, 2022

HTAR Klang Nafi ‘Cover Line’ Semasa Lawatan PM

2 min read

Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) menafikan dua dakwaan berhubung isu ‘cover line’ semasa lawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke hospitalnya semalam serta arahan doktor pelatihnya berpindah keluar daripada asrama mereka.

Pengarah HTAR, Dr. Zulkarnain Mohd. Rawi berkata, pihaknya terpaksa menjelaskan perkara sebenar bagi menghentikan tomahan sesetengah pihak bagi membersihkan semula imej hospital yang dikendalikannya itu.

“Berhubung isu lawatan Perdana Menteri, ruangan Jabatan Kecemasan dan Trauma tidak dikosongkan semasa lawatan beliau, malah terdapat 117 pesakit yang belum menerima rawatan pada ketika itu.

“Malah trend semasa di jabatan tersebut menerusi kes harian oleh Unit Pengurusan Katil adalah di antara 150 hingga 180 pesakit,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Muhyiddin turun padang ke HTAR bagi melihat sendiri keadaan di sana serta meninjau operasi hospital tersebut mengendalikan kes pesakit Covid-19.

Dalam tinjauan tersebut, beliau mengumumkan bahawa kerajaan akan mengagihkan tambahan dua juta dos vaksin lagi bagi negeri Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor berikutan tiga negeri ini yang mencatatkan jumlah kes jangkitan harian yang masih tinggi.

Bagi isu kedua pula, kata Zulkarnain, arahan pindah ke Asrama Pelajar Pusat Perubatan Universiti Malaya sebagai tempat tinggal sementara doktor pelatihnya dibuat bagi menggunakan empat blok asrama HTAR untuk mengesan serta menempatkan pesakit Covid-19.

Berdasarkan lawatannya di kesemua blok 5 Julai lalu, beliau mencadangkan supaya blok A dan B dijadikan sebagai Wad Covid-19 Kategori 1 dan 2.

“Malah, notis pindah bagi mereka yang tinggal di Blok A dan B ke Blok B dan E Asrama Pelajar Perubatan UM telah dikeluarkan pada 9 Julai lalu.

“Blok A dan B HTAR telah bertukar fungsinya sebagai Wad Covid-19 Berisiko Rendah pada Isnin lalu, serentak dengan pemindahan semua doktor pelatih ke UM,” jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.