December 6, 2023

Hotel Penginapan Akan Wujud Di Bulan, Richard Branson Sedang Rancang

1 min read

Bilionair yang baru pulang daripada melancong ke angkasa lepas, Sir Richard Branson mahu membina sebuah hotel penginapan di Bulan, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.

Pelopor pelancongan angkasa lepas itu berkata masyarakat boleh menjangkakan lebih banyak penerokaan ke angkasa lepas bersama Virgin Galactic di masa akan datang.

Ketika ini, kos bagi satu tiket penerbangan ke sempadan angkasa lepas dengan Virgin Galactic dianggarkan bernilai AS$250,000 (RM1.05 juta).

Bercakap mengenai impian lain Branson, lelaki itu berkata beliau mahu membina hotel di Bulan sebagai impian besar baharunya.

“Sama ada saya sendiri akan terlibat secara langsung dalam pembinaan hotel di Bulan atau saya serahkan kepada anak-anak saya untuk melakukannya, ia bergantung kepada keadaan.

“Ia kedengaran seperti impian yang mengarut tetapi perkara sama dikatakan tentang pelancongan angkasa lepas dan saya baru sahaja melakukannya,”kata Branson.

Branson berharap kewujudan lebih banyak roket dan kapal angkasa di masa hadapan akan mengurangkan kos penerbangan ke angkasa lepas. -Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *