Rodzi Md Saad Dilantik Ketua Pengarah Keselamatan Negara Yang Baharu
1 min read
Datuk Rodzi Md Saad dilantik sebagai Ketua Pengarah Keselamatan Negara yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam kenyataannya berkata, Rodzi telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 31 tahun dan berpengalaman luas dalam pelbagai bidang termasuk keselamatan dan pengurusan bencana.
Beliau berkata, Rodzi, 57 tahun, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Demografi dan Kajian Kependudukan (Kepujian) dari Universiti Malaya (UM) sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara.
“Syabas dan tahniah atas pelantikan Rodzi sebagai Ketua Pengarah Keselamatan Negara berkuat kuasa pada 15 Julai 2021.
“Dengan kepakaran dan pengalaman yang dimiliki oleh Rodzi, saya yakin beliau mampu menerajui MKN dalam meneruskan legasi kecemerlangan pentadbiran dan pengurusan keselamatan dan bencana di Malaysia terutamanya menangani pandemik Covid-19,” katanya.