December 2, 2022

Lapor Polis Jika Nampak Orang Luar Masuk Perlis

1 min read

Penduduk Perlis diminta melaporkan kepada polis sekiranya terdapat kehadiran pihak luar yang meragukan atau sebarang perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) termasuk berkumpul menjelang dan semasa Hari Raya Aidiladha pada 20 Julai ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Azman Mohd. Yusof berkata, pihaknya juga akan meminta kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), persatuan penduduk dan Komuniti Rukun Tetangga (KRT) untuk memantau kawasan kejiranan masing-masing.

“Kita percaya nak dekat raya ini ada yang akan cuba masuk Perlis dengan pelbagai alasan termasuk kemungkinan ada cubaan menyelinap menggunakan lorong tikus.

“Sehubungan itu, kita minta semua penduduk terutama JPKK, persatuan penduduk dan KRT agar melaporkan kepada polis sekiranya ada orang luar yang masuk tanpa kebenaran,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPB) Negeri Perlis berkata demikian ketika memantau sekatan jalan raya (SJR) di Lebuh Raya Changlun – Kuala Perlis di Ulu Pauh dekat sini hari ini.

Menurut Azman, pihaknya juga akan meminta kerjasama pihak polis dan agensi keselamatan lain untuk memperketatkan lagi pemeriksaan serta kawalan di semua SJR dan lorong-lorong tikus.

“Kita harap tidak ada mana-mana individu yang masuk ke negeri ini tanpa kebenaran kerana kita nak jaga keselamatan warga Perlis daripada dijangkiti Covid-19,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.