September 27, 2021

SepatahDua.My

"KITA SAMA-SAMA MENANG LAWAN COVID-19"

Sebahagian Besar Rakyat Malaysia Tiada Simpanan Cukup Untuk Hadapi Impak Ekonomi

1 min read

Majoriti rakyat Malaysia berdepan kesukaran untuk menjana pendapatan selain perlu mencari kerja alternatif sewaktu pandemik COVID-19.

Kaji selidik yang dilakukan Malaysia Indikator dan KajiData mendapati, 70 peratus responden akui mengalami masalah kewangan.

Selain itu, 65 peratus daripada 1,008 responden tidak yakin berkenaan peruntukan yang disalurkan kerajaan menerusi pelbagai pakej rangsangan.

“Apa yang lebih membimbangkan adalah hampir 80 peratus responden tidak mempunyai simpanan yang cukup untuk mendepani impak ekonomi susulan pandemik ini,” memetik laporan yang bertajuk ‘Riding The Pandemic Storm’.

Pada masa sama, kesan pandemik COVID-19 tidak membezakan antara penduduk di bandar atau luar bandar.

Ia apabila jumlah responden yang mengakui terkesan dan sangat terkesan dengan pandemik ini hampir sama.

“Walaupun sejumlah besar responden maklum berkenaan pakej rangsangan yang diperkenalkan kerajaan, namun jumlah mereka yang tidak tahu dan sangat tidak tahu mengenai inisiatif itu juga adalah besar.

“Malah, statistik menunjukkan tidak banyak beza antara kawasan luar bandar dan bandar, namun lebih ramai responden yang menetap di bandar tidak mengetahui berkenaan bantuan kerajaan ini,” memetik laporan itu.

Laporan itu turut menyatakan, dengan peningkatan kes harian COVID-19 yang mendadak, ia memberi gambaran realiti sebenar kehidupan penduduk di negara ini.

“Ia termasuk gerakan Bendera Putih, yang juga membuktikan parahnya isu ini.

“Justeru, kerajaan perlu memastikan kumpulan rentan sama ada di bandar atau luar bandar sentiasa dilindungi dengan sokongan kewangan tatkala larangan pergerakan masih diperketat,” memetik laporan itu.

Kajian tersebut melibatkan responden dari semua negeri merangkumi pelbagai kaum dan etknik, dengan majoriti responden berusia antara 30 hingga 49 tahun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *