December 2, 2022

“Seelok-Eloknya Berdamai” – Pesan Dr Zulkifli Kepada Ebit Lew Dan Caprice

1 min read

“Kedua-dua mereka sahabat saya dan pernah datang bertemu saya. Hal seperti ini (salah faham) seelok-eloknya berdamai,” ujar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau mengulas mengenai perselisihan faham antara pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew dan penyanyi rap, Ariz Ramli atau Caprice yang menarik perhatian pelbagai pihak terutama netizen selepas ia viral di laman sosial.

Dr Zulkifli menasihatkan kedua-dua individu terbabit supaya dapat berlapang dada dan perselisihan antara mereka diselesaikan dengan baik.

Beliau berkata, walaupun ia membabitkan hal peribadi tetapi kedua-dua individu terkenal itu harus bersikap positif.

“Saya tiada komen sebab saya belum meneliti apa-apa, tapi itu hal peribadi, seeloknya berdamai,” katanya selepas menyampaikan sumbangan pada Program Sumbangan Dana Perlu dan Dana Pelajar Yayasan Wakaf Malaysia (YKM) di Taman Mantau Indah, tadi.

Caprice sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila mendedahkan tegurannya kepada Ebit selepas dia menerima rungutan daripada penduduk Gaza berhubung cara pendakwah berkenaan menghulurkan bantuan.

Dia yang turut serta dalam Misi Kemanusiaan Untuk Palestin mendakwa kecewa dengan pendakwah terkenal itu yang menggunakan gambar kanak-kanak di Gaza sebagai bahan kandungan di media sosial.

Ebit juga dikatakan menyekat akaun Instagram milik Caprice difahamkan berpunca daripada kontroversi berkenaan.

Pendedahan Caprice itu dilihat menimbulkan rasa kurang senang netizen terutamanya dalam kalangan penyokong Ebit yang memberikan pelbagai reaksi terhadap artis terbabit.

Leave a Reply

Your email address will not be published.