November 29, 2022

Selepas Covid-19, H5N6 Pula Jadi ‘Pembunuh’ Rakyat China

1 min read

Seorang lelaki di China telah dimasukkan ke hospital selepas disyaki dijangkiti virus selsema burung H5N6 yang membawa maut, lapor akhbar Daily Post kelmarin.

Lelaki berusia 55 tahun itu disahkan positif H5N6 pada 6 Julai lalu selepas mengalami demam dan dimasukkan ke sebuah hospital di Sichuan, barat daya China.

Data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan, kes tersebut merupakan satu daripada 33 kes yang dilaporkan di rantau Pasifik Barat sejak 2014.

Media tempatan memetik seorang pakar sebagai berkata, jangkitan terbaharu itu tidak menimbulkan risiko penularan skala besar antara manusia.

Pihak berkuasa kesihatan kini ‘mengaktifkan tindak balas kecemasan dan melakukan kerja-kerja sanitasi di kawasan jangkitan.

Punca jangkitan bagaimanapun tidak dapat dipastikan.

Menurut WHO, jangkitan pertama varian H5N6 melibatkan manusia mula dikesan di Laos pada 2014 dengan 60 peratus kes menyebabkan kematian.

Kes terakhir pula dilaporkan di China Mei lalu.

“Setiap kali virus selesema burung beredar dalam kalangan ternakan, terdapat risiko jangkitan sporadik akibat terdedah kepada ternakan yang sudah dijangkiti atau persekitaran yang tercemar.

“Oleh itu, jangkitan sporadik antara manusia adalah tidak dijangka,” demikian kenyataan WHO dalam kemas kini mingguan selesema burung terakhir pada 9 Julai lalu.

Dengan jangkitan selesema burung yang berterusan akibat kewujudan virus A(H5), terdapat keperluan untuk terus berjaga-jaga dalam sektor kesihatan awam dan masyarakat.

Kesesedaran masyarakat mengenai bahaya virus tersebut terhadap kesihatan manusia sangat penting untuk mencegah jangkitan pada manusia. -Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published.