August 10, 2022

Maybank Sumbang RM14 Juta Kepada Dua Hospital Awam

2 min read

Maybank komited untuk menyumbangkan RM14 juta kepada dua hospital kerajaan utama bagi memastikan penyediaan kemudahan dan perkhidmatan perubatan yang berterusan demi membantu mengukuhkan sistem penjagaan kesihatan Malaysia dalam menghadapi lonjakan pesakit Covid-19, baru-baru ini,

Sumbangan ini akan disalurkan melalui Program Sokongan Peningkatan Kapasiti Hospital Covid-19 Mercy Malaysia yang menyediakan peralatan dan tenaga kerja kritikal di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR), bermula dari minggu keempat Julai 2021.

Pengerusi Maybank Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa berkata, program ini akan dijalankan dalam jangka masa 20 minggu melalui pendekatan tiga serampang iaitu melalui penyediaan peralatan dan bekalan kesihatan; mobilisasi sumber manusia; dan latihan teknikal termasuk sokongan kesihatan mental dan psikososial.

“Ini akan meningkatkan ruang kapasiti katil Unit Penjagaan Intensif (ICU) untuk pesakit Covid-19 Kategori 4 dan 5 sebanyak enam unit di HTAR dan 10 unit di HKL, serta tambahan 200 katil pesakit Covid-19 masing-masing di kedua-dua hospital ini,” jelas beliau dalam satu kenyataan.

Pada masa yang sama, seramai 40 pekerja kesihatan dan staf sokongan kritikal akan disalurkan ke HTAR dan 50 ke HKL, untuk berkhidmat di wad Covid-19 dan wad biasa, membolehkan jabatan pesakit luar hospital untuk dibuka semula, seterusnya membantu semua pesakit.

Zamzamzairani berkata, Inisiatif ini juga akan menyaksikan lebih ramai kakitangan perubatan terlatih dalam menangani kes Covid-19 secara berkesan serta menyediakan pelbagai peralatan perubatan ICU dan bukan ICU yang sangat diperlukan, termasuk jabatan kecemasan di kedua-dua hospital.

Menyedari keperluan untuk mengurangkan cabaran fizikal dan kesihatan mental dalam kalangan pekerja kesihatan barisan hadapan, program ini juga akan menyediakan perkhidmatan sokongan kesihatan mental dan psikososial melalui modul dan mekanisme pengurusan kesihatan yang boleh dipercayai, serta menyampaikan bantuan secara langsung untuk mengurangkan beban hidup pekerja dan ahli keluarga mereka.

Beliau menambah, memandangkan terdapat cabaran kapasiti yang sangat besar di HTAR, sumbangan Maybank juga akan mewujudkan penubuhan hospital sementara di sana bersama dengan pemberian latihan teknikal kepada kakitangan untuk meningkatkan rawatan dan pemulihan pesakit Covid-19.

“Harapan kami melalui kerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan, Mercy Malaysia dan seluruh rakyat Malaysia, kesinambungan sistem kesihatan negara kita akan terjamin, dan hospital-hospital kita akan dilengkapi dengan lebih baik dan bersedia untuk menghadapi bukan sahaja pandemik Covid-19, tetapi juga pandemik yang tidak dijangka di masa depan,” kata beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published.