Seorang Lelaki Pulang Ke Kelantan Ziarah Keluarga, Cetus Kluster Kampung Bujuk
1 min read
Seorang lelaki yang pulang ke Kelantan pada 2 Julai lalu untuk menziarahi keluarganya mencetuskan satu kluster komuniti iaitu Kluster Kampung Bujuk dengan 14 kes dikesan setakat ini.
Menerusi lampiran yang disertakan dengan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah hari ini menunjukkan kluster itu dikesan di Pasir Mas, Kelantan dan Petaling, Selangor membabitkan kawasan perumahan di Kampung Bujuk Tok Uban, Pasir Mas.
Lampiran rumusan kluster itu menyebut, lelaki berusia 39 tahun itu yang juga kes indeks 839,178 dilaporkan positif Covid-19 pada 12 Julai lalu hasil saringan individu bergejala.
“Kes mula bergejala pada 1 Julai lalu dan mempunyai sejarah pulang ke Kelantan dari Selangor antara 2 Julai hingga 5 Julai untuk menziarahi keluarga,” katanya.
Kluster Kampung Bujuk adalah antara enam kluster komuniti yang dilaporkan hari ini.
Secara keseluruhan, sebanyak 28 kluster baharu dikenal pasti hari ini terdiri daripada 19 kluster tempat kerja, enam kluster komuniti, dua kluster kumpulan berisiko tinggi dan satu kluster pendidikan lain.