Kelonggaran Untuk Penerima Dua Dos Vaksin Akan Diumum Selepas Aidiladha
1 min read
KELONGGARAN kepada penerima dua dos vaksin COVID-19 seperti dimaklumkan kerajaan sebelum ini akan diumumkan selepas Hari Raya Aidiladha.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketika ini jawatankuasa teknikal sedang melakukan kajian terperinci mengenainya.
Katanya, kemudian perkara itu akan dibentangkan kepada kerajaan sebelum keputusan dibuat berhubung kelonggaran kepada golongan berkenaan.
“Seperti diumumkan Perdana Menteri bahawa kita akan beri kelonggaran kepada rakyat telah dapat dua dos vaksin, sekarang ini jawatankuasa teknikal sedang mengkaji secara terperinci.
“Siapa yang boleh bergerak, pergerakan apa yang bebas untuk penerima dua dos vaksin selain sektor perniagaan yang mana boleh dilonggarkan.
“Perkara ini sedang diteliti, insya-Allah selepas hari raya (Aidiladha) nanti kita akan umumkan,” kata Menteri Kanan Pertahanan itu.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan program Mindef Prihatin di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur hari ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerima replika cek bernilai RM50,000 dari Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed pada Majlis Pelancaran Program ‘MINDEF Prihatin’ di Wisma Pertahanan, hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa kerajaan akan mengumumkan kelonggaran terhadap penerima lengkap dua dos vaksin minggu ini.
Kata Muhyiddin beliau, beliau telah mengarahkan jawatankuasa terlibat untuk meneliti perkara tersebut.