August 12, 2022

Seorang Pekerja Kilang Bukan Warganegara Di Rembau Dijangkiti Varian Delta

2 min read

Kes positif Covid-19 membabitkan varian Delta oleh seorang pekerja kilang bukan warganegara Malaysia telah dikesan di daerah Rembau.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), Mohamad Najib Mustafa berkata, kes berkenaan telah ditemui dalam Kluster Pedas 2 dan tiga sampel kes positif Covid-19 telah diambil pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk kajian selanjutnya.

Menurutnya, di antara tiga sampel berkenaan terdapat satu kes dikenal pasti membawa varian Delta dan terdapat kemungkinan berlaku perebakan varian berkenaan.

“Tindakan Perintah Kawalan Pergerakkan Diperketatkan (PKPD) ini amat diperlukan supaya kita dapat membendung varian berbahaya ini yang kita semua tahu boleh merebak sangat pantas.

“Salah satu kaedah mengawal kluster yang terbaru di Rembau iaitu Kluster Industri Chembong adalah melaksanakan PKPD di empat lokaliti membabitkan seramai 4,200 penduduk dengan bilangan 1,027 rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di Pos Kawalan PKPD Taman Chembong Utama, di sini, awal pagi tadi.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Rembau, Pemangku Deputi Superintendan, Hazri Mohamad, Pengarah Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sembilan, Roslin Hisham Abd. Hamid dan Penyelaras DUN Chembong, Nasarudin Ibrahim.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelmarin berkata, PKPD di Negeri Sembilan membabitkan empat lokaliti iaitu Taman Chembong Utama, Taman Chembong Jaya dan Taman Setia Raja di Mukim Chembong serta Taman KSNS di Mukim Pedas bermula 19 Julai (hari ini) hingga 1 Ogos ini.

Menurut Ismail Sabri, pelaksanakan PKPD di semua lokaliti ini setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengambil kira penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19.

Mohamad Najib yang juga Pegawai Daerah Rembau berkata, punca utama diadakan PKPD berkenaan membabitkan radius kawasan seluas 2.8 kilometer ialah berdasarkan sebanyak 161 kes positif termasuk satu kematian direkodkan di empat lokaliti berkenaan dari 1 hingga 13 Julai lalu.

Menurutnya, jumlah berkenaan melibatkan 32.5 peratus kes positif Covid-19 di daerah Rembau bagi tempoh berkenaan telah direkodkan dari lokaliti PKPD berkenaan.

“Manakala seramai 116 individu dikenal pasti sebagai orang di bawah pemantauan (PUS) dan dipakaikan gelang merah jambu.

“Kawasan yang terlibat telah dikenal pasti mengikut kediaman individu positif Covid-19 terutamanya dalam kalangan bukan warganegara dengan kadar mobilisasi yang tinggi kerana berdekatan kawasan industri.

Leave a Reply

Your email address will not be published.