Durian Serendah RM1.99 Laris Dijual
2 min read
Kira-kira tiga tan durian terjual dalam tempoh yang singkat setiap hari selepas tular dalam media sosial mengenai harga raja buah itu yang dijual serendah RM1.99 sekilogram oleh seorang peniaga di Jalan Pesiaran Raja Syed Thauphy 4 di Bagan Serai, Perak.
Penjual durian itu, Mohd. Shukri Omcek, 27, berkata, dia tidak menyangka video jualan durian RM1.99 sekilogram yang dimuat naiknya dalam media sosial menyebabkan dia kini tidak menang tangan melayan pelanggan.
Menurutnya, dia mengambil inisiatif menjual durian sehingga serendah RM1.99 sekilogram selepas ramai yang merungut tidak mampu membeli kerana harganya yang mahal.
“Ramai yang merungut kata durian mahal menyebabkan golongan B40 tidak mampu membelinya untuk dimakan bersama keluarga.
“Atas sebab itu, saya bersama seorang rakan mencari pemilik kebun durian di sekitar Bukit Gantang dan Trong yang menawarkan harga julan secara borong yang rendah supaya dapat menjualnya juga pada harga yang rendah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam .
Menurut Mohd. Shukri, dia telah menjual durian pada harga itu sejak seminggu lalu.
Katanya, sambutan orang ramai amat menggalakkan dan kebanyakan pelanggan datang awal iaitu sebelum lori membawa durian tiba.
“Dalam seminggu, saya telah menjual hampir 20 tan durian,” katanya.
Sementara itu, seorang pelanggan, Mohd. Khaizal Mohd. Shaari, 48, berkata, dia mendapat tahu mengenai jualan semurah itu setelah menonton video mengenainya yang tular dalam media sosial.
Menurutnya, harga yang ditawarkan itu sangat rendah dan berbaloi sekaligus memberi peluang kepada pelanggan berpendapatan rendah mampu membelinya.
“Semasa pandemik, ramai yang terjejas pendapatan dan tentunya tidak mampu untuk membeli durian sekiranya harganya mahal.
“Sikap penjual durian yang menawarkan harga jualan durian seperti ini perlu dipuji,” katanya.