September 24, 2023

Lori Bawa Bantuan Misi Kemanusiaan Ebit Lew Ke Pantai Timur Diminta Patah Balik

2 min read

LORI-lori yang membawa bantuan misi kemanusiaan daripada pendakwah terkenal, Ebit Lew dilaporkan telah diarah berpatah balik di sekatan jalan raya (SJR) Bentong kerana tidak mempunyai dokumen kebenaran.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar kepada UtusanTV hari ini.

Menurut Zaiham, tiga buah lori seberat tiga tan membawa barangan muatan bagi misi kemanusiaan Ebit ke Pantai Timur itu tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dalam kejadian pukul 1.30 pagi semalam, Zaiham berkata, lori yang masing-masing dibawa seorang pemandu itu dalam perjalanan ke Kuantan, Terengganu dan Kelantan.

Kata beliau, mengikut SOP MKN, mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu mendapatkan kebenaran daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri untuk pergerakan bantuan bencana atau misi kemanusiaan.

“Saya sahkan memang lori mereka diarah untuk berpatah balik kerana tiada sebarang dokumen bagi tujuan berkenaan.

Baca artikel berkaitan: Isu sumbangan Ebit Lew di Gaza kembali hangat, Nadir pula persoal ‘cara’ digunakan

“Lori itu pun sebenarnya disewa dengan pemandu diberitahu untuk ke Kuantan, Terengganu serta Kelantan.

“Tiada isu besar pun kerana kesemua mereka akur dengan arahan dan berpatah balik. Setakat ini pun tiada sesiapa daripada pihak Ebit berhubung dengan Polis Bentong.

“Mereka hanya diarah untuk berpatah balik, tiada kompaun dikenakan,” katanya ketika dihubungi UtusanTV.

Mengulas lanjut, Zaiham turut menasihatkan mana-mana NGO atau orang perseorangan yang terlibat dalam apa sahaja misi kemanusiaan supaya mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Beliau berkata, perkara itu penting bagi mengelakkan berlakunya kesulitan dalam misi kemanusiaan berkenaan.

“Tidak kira sesiapa pun sama ada NGO atau instafamous sekali pun, jika ada tujuan untuk misi kemanusiaan, dapatkan kebenaran daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri atau Daerah.

“Supaya nanti tidak mendatangkan kesulitan kepada misi tersebut,” jelas beliau.

Semalam, Zaiham dilaporkan berkata, sebanyak 98 kenderaan telah diarahkan berpatah balik ketika cuba melalui tiga SJR di sekitar daerah Bentong sejak 15 Julai hingga Isnin lalu.

Beliau memaklumkan, kenderaan terbabit diarah berpatah balik kerana tidak mempunyai dokumen sah daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Selain itu, ada juga yang menggunakan surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) atas sebab tidak munasabah dan lain-lain.

“Sebanyak lima kompaun juga dikeluarkan di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong atas pelbagai kesalahan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *