Tak Pakai Pelitup Muka Dan Cuba Cetus Provokasi, Ejen Insurans Ditahan
2 min read
SEORANG lelaki yang videonya tular dalam media sosial semalam kerana mempertikaikan tindakan kompaun dan mencetuskan provokasi disebabkan tidak memakai pelitup muka direman empat hari oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya.
Suspek berusia 29 tahun yang bekerja sebagai ejen insurans itu telah ditahan polis di sebuah apartmen di Bandar Sri Damansara, pukul 10 malam tadi.
Lelaki tersebut telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 188 dan 504 Kanun Keseksaan.
Pada masa sama, kes tersebut juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Perintah reman sehingga Sabtu ini telah dikeluarkan Mahkamah Majistret Muhammad Iskandar Zainol dengan suspek dibawa ke mahkamah memakai baju lokap dan diwakili peguam Rahmat Hazlan.
Semalam, tular dalam Facebook video berdurasi 15 minit 42 saat menggunakan nama Alyf Malik memaparkan seorang lelaki melakukan provokasi terhadap anggota polis selepas dikompaun kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Baca artikel berkaitan: Ketua balai antara 8 ditahan Bukit Aman ‘pesta’ di balai polis
Suspek yang mempertikaikan tugas polis itu turut mengeluarkan kata-kata kesat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, lelaki tersebut telah dikenakan kompaun kerana tidak memakai pelitup muka ketika berada di stesen minyak yang merupakan tempat awam.
“Semasa proses penahanan malam tadi, suspek turut membuat satu rakaman video secara langsung melalui Facebook,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lelaki tersebut disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana enggan memberikan kerjasama kepada pihak polis yang menjalankan tugas dan Seksyen 504 kanun sama kerana dengan sengaja mengaibkan polis dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.
Selain itu, kes berkenaan turut disiasat mengikut Seksyen 505(b) kanun sama kerana mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menularkan rakaman ke media sosial serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana berkelakuan tidak sopan di tempat awam.
Mohamad Fakhrudin turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis yang menjalankan tugas di lapangan dan harus mematuhi SOP COVID-19.
Beliau turut memohon orang ramai tidak membuat spekulasi berhubung video yang tular itu kerana boleh mengundang pelbagai isu yang boleh menggugat ketenteraman awam.