September 27, 2021

SepatahDua.My

"KITA SAMA-SAMA MENANG LAWAN COVID-19"

Isu Ebit Lew: Hubungan Baik Malaysia Dan Palestin Tak Terjejas

2 min read

Isu kontroversi melibatkan pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman serta penyanyi rap, Caprice tidak menjejaskan hubungan diplomatik antara kerajaan Malaysia dan Mesir.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, kerajaan bertanggungjawab membantu semua rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi kemanusiaan di Palestin khususnya di Gaza yang masuk melalui Mesir atau Jordan.

Beliau berkata, dalam hal ini, kerajaan membuat keputusan mengenai kaedah-kaedah ke sana melibatkan Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Luar Negeri yang akan bertindak mengkaji segala permohonan sebelum kebenaran keluar ke Gaza, Palestin diberikan.

“Selepas permohonan diluluskan, Kementerian Luar Negeri akan memberi bantuan dalam aspek menghubungi Kementerian Luar Negeri Mesir atau jika mereka ingin masuk melalui Amman kita akan menghubungi Kementerian Luar Negeri Jordan.

“Disamping itu mereka yang hendak ke Gaza juga perlu bekerjasama dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Mesir dan Gaza khususnya Persatuan Bulan Sabit Merah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kamarudin yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata demikian selepas menerima bakul makanan sumbangan Prolintas yang diwakili Timbalan Pengurus Besar Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) Dr. Zarulazam Eusofe.

Mengulas mengenai pembelian barang bantuan, beliau berkata, urus niaga barang sama ada lebih baik di Mesir atau lebih baik di Gaza merupakan keputusan pihak yang terlibat dengan NGO di sana.

“Bayaran yang dikenakan seperti pengangkutan, keselamatan serta kadar atau jumlah yang dibayar tidak berada di bawah kawalan kerajaan Malaysia.

“Di sini kita tidak menentukan salah atau betul kerana itu adalah urusan antara mereka yang terlibat dengan pihak di sana,” katanya.

Tambahnya, kerajaan sentiasa bersedia dan berusaha untuk menjadi pemudah dalam misi-misi kemanusiaan yang melibatkan rakyat Malaysia tetapi yang berkuasa pada akhirnya ialah kerajaan negara terlibat.

Dalam pada itu, beliau berkata, hubungan yang terjalin antara kerajaan Malaysia dan Mesir boleh dikira bertambah baik khususnya selepas lawatan Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ke Mesir pada bulan lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *