September 24, 2023

Kabinet Setuju Lantik Doktor Kontrak Untuk Tempoh Dua Tahun Selepas Khidmat Wajib

1 min read

Kabinet bersetuju supaya pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak ditawarkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib masing-masing.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah penyelesaian segera itu antara lain bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran.

Beliau berkata, kabinet juga bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh maksimum empat tahun ke atas pegawai perubatan dan pegawai pergigian yang diterima mengikuti pengajian kepakaran dalam tempoh kontrak dua tahun pertama.

“Langkah ini bagi memastikan pegawai-pegawai berkenaan berjaya melengkapkan pengajian kepakaran masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, Kabinet turut memahami kebimbangan dan masalah yang dihadapi kumpulan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak berhubung kesetaraan laluan kerjaya.

Justeru beliau berkata, Kabinet bersetuju agar pelantikan secara kontrak diuruskan mengikut kesetaraan kerjaya pegawai tetap bagi memastikan laluan kerjaya yang setara dan adil kepada mereka.

“Mereka juga akan ditawarkan Cuti Belajar Bergaji penuh serta tajaan pengajian setara dengan Cuti Belajar Bergaji Penuh dan Hadiah Latihan Persekutuan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *