September 24, 2023

Semua Penerima Vaksin Covid-19 Sudah Boleh Rakam Video Ketika Suntikan

2 min read

PENERIMA vaksin COVID-19 seluruh negara dibenarkan merakam video semasa proses tersebut dijalankan bagi mengelakkan berlaku keraguan atau isu melibatkan suntikan kosong.

Pada masa sama, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, jururawat juga perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada untuk menunjukkan picagari yang telah diisi kuantiti sempurna kepada penerima sebelum suntikan berlaku.

Kata beliau, bukan sahaja penerima vaksin bahkan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) sendiri mempunyai bukti bahawa suntikan sempurna telah dilakukan.

“Saya harap perkara ini selesai di sini kerana saya tidak mahu menganggu kesungguhan petugas barisan hadapan dalam melaksanakan tugasan mereka.

“Saya ambil keluhan orang ramai dengan serius tetapi kecuaian manusia akan tetap berlaku di mana-mana sahaja. Saya juga mohon maaf kepada mereka sekiranya berlaku kecuaian dan kami akan melakukan yang terbaik lagi selepas ini.

“Saya harap orang ramai akan terus menyokong usaha keras petugas barisan hadapan. Selepas ini, rakamlah video dan lihatlah picagari semasa menerima vaksin, jangan pandang ke arah lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mingguan CITF bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba secara maya hari ini.

Sementara itu, Khairy turut memaklumkan semua penduduk dewasa berusia 18 tahun ke atas di Lembah Klang yang masih belum menerima janji temu dibenarkan hadir secara walk-in selepas Operasi Lonjakan Kapasiti berakhir 1 Ogos ini.

Beliau berkata, pihaknya akan mengumumkan pusat pemberian vaksin (PPV) yang akan dibuka untuk tujuan tersebut tidak lama lagi.

Mengenai status Operasi Lonjakan Kapasiti, Khairy memberitahu, program yang telah bermula Rabu lalu itu menyasarkan sebanyak 211,000 hingga 275,000 suntikan sehari di Lembah Klang.

Jelas beliau, bagi tempoh dua hari sebanyak 432,843 suntikan dos telah diberikan dengan 293,100 merupakan suntikan dos pertama.

“Menerusi program ini, sasaran keseluruhan adalah untuk memberi sekurang-kurangnya satu dos kepada semua penduduk dewasa Lembah Klang sebelum atau pada 1 Ogos.

“Sehingga semalam, sebanyak 71.9 peratus penduduk dewasa 18 tahun ke atas di Lembah Klang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos,” jelas beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *