December 6, 2023

“Air Tangan” Dr Adham Turut Bantu Kejayaan Pingat Emas Pertama Olimpik Filipina

2 min read

Hidilyn Diaz, 30 tahun, atlet angkat berat Filipina tersenyum puas selepas berjaya menang pingat emas pertama negaranya dalam sejarah Sukan Olimpik dalam acara angkat berat kategori kategori 55 kilogram pada Sukan Olimpik di Tokyo, Jepun.

 

Di sebalik kemenangan pingat emas pertama Filipina yang diraih atlet angkat berat mereka Hidilyn Diaz di Sukan Olimpik Tokyo Jepun, ada cerita tentang orang Malaysia yang turut sama membantu atlet berkenaan sehingga kejayaan berkenaan berjaya dicapai.

Semuanya berlaku disebabkan beliau dan pasukannya termasuk jurulatihnya terkandas di Malaysia tahun lepas kerana kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada masa itu untuk membendung penularan wabak COVID-19.

Selain cerita keluarga angkatnya yang ada di Kampung Kesang Tua di Jasin, Melaka, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba juga turut memainkan peranan dalam memastikan penyertaan Diaz ke Tokyo menjadi kenyataan.

Hidilyn Diaz tidak dapat menahan kegembiraan sebaik berjaya mengangkat beban seberat 224 kilogram sekaligus menjadikan beliau berjaya menang pingat emas pertama Filipina dalam sejarah Olimpik.

Sewaktu Diaz berada di Malaysia sejak 16 September tahun lepas, dia dan dua jurulatihnya kemudian menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 Astra Zeneca pada bulan Mei dan pada ketika itu jarak antara dua dos suntikan ialah 12 minggu.

Dr Adham telah pun dimajukan surat permohonan oleh Duta Besar Filipina ke Malaysia Charles C Jose untuk memendekkan jarak antara suntikan berkenaan bagi membolehkan Diaz dan jurulatihnya iaitu Kaiwen Gao dari China dan Julius Irvin Hikaru Takamura Naranjo dari Amerika Syarikat berlepas ke Tokyo memandangkan Sukan Olimpik bermula pada 23 Julai.

Beliau telah memberikan kelulusan segera untuk memendekkan jarak antara suntikan vaksin berkenaan sekaligus merealisasikan impian atlet angkat berat dari Filipina itu mencapai kejayaan merangkul pingat emas pertama Sukan Olimpik bagi negaranya.

Surat penghargaan dan ucapan terima kasih Duta Besar Filipina ke Malaysia untuk Dr Adham Baba.

 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba turut membantu dalam kejayaan Hidilyn Diaz bagi memudahkan atlet itu mendapatkan suntikan vaksin dos ke-2 Astra Zeneca bagi membolehkan beliau berlepas ke Tokyo, Jepun sebelum 18 Julai.

Kejayaan itu turut dikongsi ile bapa angkat Diaz, Ahmad Janius Abdullah, 50 tahun, yang juga Timbalan Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia yang turut membantu sepanjang latihan atlet berkenaan di Melaka sejak tahun lepas.

Penampilan Diaz di pentas Olimpik adalah yang ke-4 dan dia berasal dari Zamboanga City di Filipina.

Selain Melaka, beliau juga ada menjalani latihan di Kompleks Sukan Desan Pandan dan Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil.

Jaguh dunia berusia 30 tahun itu melakukan angkatan seberat 224 kilogram untuk mengatasi wakil China, Liao Qiuyin, dan atlet Kazakhstan, Zulfiya Chinshanlo, bagi mengungguli acara itu dengan memecahkan rekod Sukan Olimpik. – SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *