September 27, 2021

SepatahDua.My

"KITA SAMA-SAMA MENANG LAWAN COVID-19"

Vaksin Covid-19 Masih Berkesan Terhadap Varian Baharu

2 min read

 

Kemunculan varian baharu yang lebih agresif kebelakangan ini mencetuskan persoalan dalam kalangan masyarakat tentang keberkesanan vaksin Covid-19 sedia ada.

Isu itu turut menjadi perhatian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mendesak syarikat farmaseutikal agar segera memastikan vaksin keluaran mereka kekal relevan terhadap apa juga varian yang dikesan.

Di negara ini, isu keberkesanan vaksin juga hangat diperkatakan, khususnya apabila kerajaan menghentikan pemberian vaksin Covid-19 keluaran Sinovac Biotech Ltd (Sinovac), syarikat farmaseutikal dari China.

Mengulas perkara itu kepada Bernama, pensyarah kanan di Kluster Kesihatan Persekitaran, Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Nurul Yuziana Mohd Yusof berkata, vaksin sedia ada, baik keluaran Sinovac, Pfizer Inc atau AstraZeneca Plc, terbukti berupaya menghalang jangkitan yang teruk dalam kalangan individu positif Covid-19.

Katanya, kajian menunjukkan vaksin berkenaan dapat melindungi individu daripada jangkitan SARS-CoV-2, iaitu virus penyebab Covid-19.

perbezaan antara vaksin keluaran Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac, beliau berkata, vaksin Pfizer dan AstraZeneca menghasilkan antibodi khusus bagi spike protein (protein pepaku) virus, sementara Sinovac pula mewujudkan antibodi meluas terhadap keseluruhan struktur virus termasuk protein pepaku.

“Spike protein berperanan seolah-olah pintu pada sel untuk kemasukan virus Covid-19, dan sebarang antibodi yang menyasarkan atau ‘melekat’ pada spike protein ini akan menghalang kemasukan virus (Covid-19) ke dalam sel tubuh kita dan seterusnya meneutralkan virus yang mana dalam keadaan ini, virus tidak boleh masuk ke dalam sel dan berganda menjadi banyak,” jelas beliau.

Menyentuh keberkesanan ketiga-tiga vaksin tersebut terhadap varian baharu Covid-19, Dr Nurul Yuziana berkata, beberapa kajian yang dibuat menunjukkan dua dos vaksin Pfizer dan AstraZeneca mempunyai keberkesanan lebih 50 peratus dalam melawan varian baharu.

“Dalam kajian yang diterbitkan New England Journal of Medicine baru-baru ini, Pfizer mempunyai keberkesanan hingga 93.7 peratus terhadap varian Alfa dan 88 peratus bagi Delta, manakala untuk AstraZeneca ialah 74.5 peratus (Alfa) dan 67 peratus (Delta).

“Bagi Sinovac pula, setakat ini belum ada lagi data saintifik bagi melihat keberkesanannya terhadap varian baharu… berkemungkinan besar masih dalam kajian atau analisis,” katanya.

Beliau turut menegaskan keberkesanan suatu vaksin hanya dapat dipastikan menerusi analisis yang komprehensif merangkumi pelbagai data termasuk status vaksinasi bagi sesebuah populasi.

“Selain itu, kita juga perlu melakukan ujian makmal untuk kenal pasti jenis varian dengan lebih terperinci berbanding kaedah penyaringan Covid-19 sedia ada seperti kaedah Real-Time Polymerase Chain Reaction secara multipleks dan analisis penjujukan DNA untuk menganalisis maklumat perubahan genetik atau mutasi virus,” katanya.

Pada 23 Julai lepas, Sinovac menegaskan vaksin CoronaVac keluarannya berupaya melawan varian Delta iaitu varian virus Covid-19 paling agresif dengan kadar transmisi yang sangat pantas setakat ini.

Jurucakap syarikat Liu Peicheng dilaporkan berkata meskipun belum ada lagi data tersedia mengenai kesan perlindungan vaksin itu, kajian membuktikan keberkesanannya di beberapa negara seperti Brazil, Indonesia, Chile dan Turki yang menggunakan CoronaVac secara meluas.

CoronaVac Sinovac adalah vaksin tidak aktif dan antara vaksin Covid-19 paling banyak digunakan di dunia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *