September 27, 2023

Ambil Tindakan Terhadap Influencer Melampaui Batas

2 min read

RAMAI yang meluahkan perasaan geram apabila menonton video tular seorang influencer yang meninggikan suaranya kepada seorang warga emas di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur.

Kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi (27 Julai) ketika individu itu menyampaikan ceramah motivasi bertajuk ‘Ubah Hidup’ kepada 20 orang gelandangan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, individu tersebut telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi memberi keterangan berkaitan insiden itu.

“Kita mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,500 kepada individu itu atas kesalahan tidak memakai pelitup muka ketika berada di pusat transit gelandangan tersebut.

“Tindakan ini adalah mengikut Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan ) Pelan Pemulihan Negara 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini (28 Julai).

Sementara itu, Konsortium Industri Rakaman Malaysia (IRAMA) malam ini turut membuat laporan di Balai Polis Bukit Indah Ampang, Selangor berkenaan video tersebut kerana tindakan influencer berkenaan yang menghina dan memalukan gelandangan warga emas itu atas alasan ‘motivasi’.

Ramai yang tidak bersetuju dengan tindakan influencer tersebut atau Carl Samsudin kerana beliau dilihat tidak menghormati orang yang lebih tua daripadanya. Antara selebriti yang menegur perbuatan beliau ialah Sherry Ibrahim, Rozita Che Wan, Datuk Aaron Aziz dan Harith Iskandar.

Video tular berdurasi 49 saat itu dikatakan dimuat naik sendiri oleh Carl di Insta Stories akaun peribadi miliknya sebelum dipadamkan. Namun, video tersebut sempat ditularkan oleh netizen yang rata-rata marah kerana sikap ‘angkuh’ usahawan tersebut.

Bagi pihak IRAMA, satu kenyataan tegas perlu diambil kerana ianya dilakukan dengan sengaja seolah-olah ianya sejenis tindakan yang patut dicontohi.

Presiden IRAMA, Ayob Abdul Majid menegaskan, terlalu banyak aksi tidak beretika dan beradab dilakukan oleh golongan influencer lokal dan selalunya, bila perkara tersebut berlaku, reaksi warganet akan segera mengaitkan tindakan itu sebagai “Perangai Artis”.

“Ini membimbangkan kami dalam jangka panjang kerana tindakan mereka menyebabkan golongan artis terpalit sama. Lebih menakutkan ramai antara Influencer ini sememangnya akrab dengan golongan artis yang menyebabkan setiap tindakan mereka juga dikira sebagai tindakan para artis atau direstui oleh para artis.

“Lebih membimbangkan, aksi-aksi tak beretika ini tular dan ditontoni oleh golongan kanak-kanak dan remaja yang menjadikan setiap aksi golongan influencer ini sebagai cara untuk berjaya yang perlu diikuti dan dicontohi. Ini sangat salah dan membimbangkan,” katanya.

Konsortium IRAMA berharap agar adanya garis panduan dan tindakan yang lebih tegas terhadap apa jua aksi biadap dan tidak bertanggungjawab oleh para influencer yang dibuat sebagai gimik bagi meraih perhatian kepada diri mereka.

Tegas Ayob, hanya kerana tiada tindakan tegas dan mampu memberi impak diambil terhadap mereka, kisah kebiadaban influencer semakin menjadi-jadi dan trend itu perlu ditamatkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *