September 24, 2023

Sesak Di PPV Berpunca Daripada Pekerja Asing Tak Ikut Janji Temu

2 min read

 

Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) memaklumkan kesesakan yang berlaku di pusat pemberian vaksin (PPV) membabitkan pekerja asing disebabkan kumpulan itu hadir tidak mengikut waktu janji temu diberikan.

Menerusi kenyataan, CITF berkata ramai yang hadir pada waktu pagi walaupun janji temu ditetapkan pada sebelah petang.

“Selain itu, kegagalan pekerja asing mengisi borang dan memuat turun aplikasi MySejahtera menyebabkan proses tersebut mengambil masa lama.

“Setiap pekerja asing memerlukan lebih lima minit untuk mengisi borang, menyebabkan kesesakan di kaunter pendaftaran. Terdapat juga jurubahasa yang membantu, tetapi proses tersebut masih memakan masa,” kata kenyataan itu.

CITF menjelaskan telah mengambil tindakan segera bagi mengelak kesesakan di PPV sehingga menyumbang kepada pelanggaran SOP di waktu wabak Covid-19 menular ketika ini.

“Antaranya, CITF telah bekerjasama dengan polis untuk menyekat perjalanan sebarang kenderaan seperti bas dari luar Lembah Klang yang membawa sama ada pekerja asing atau rakyat Malaysia secara beramai-ramai untuk mendapatkan suntikan vaksin di Lembah Klang.

“Selain itu, CITF juga telah meminda tarikh janji temu bagi sesetengah penerima vaksin untuk mengurangkan jumlah kehadiran agar kesesakan daripada masalah komunikasi yang telah diterangkan tadi dapat dielakkan,” katanya.

Selain itu, CITF juga sedang mempertimbangkan keperluan mengkhususkan beberapa PPV untuk warga asing mengikut bahasa seperti penterjemah atau sukarelawan dapat ditempatkan agar proses vaksinasi dapat dipermudahkan.

Sebelum ini tular di media sosial keadaan PPV KLCC yang sesak dan tiada langsung penjarakan sosial.

Hasil tinjauan FMT mendapati rata-rata mereka adalah warga asing, walaupun turut kelihatan anggota polis berada di kawasan tersebut bagi memastikan SOP dipatuhi.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Mohamad Zainal Abdullah, kejadian berlaku apabila majikan menghantar pekerja mereka termasuk dari Negeri Sembilan terlalu awal ke PPV sehingga menyebabkan kesesakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *