October 3, 2023

96.7% Penduduk Dewasa Lembah Klang Sudah Terima Satu Dos Vaksin

2 min read

OPERASI Lonjakan Kapasiti yang dilaksanakan di Lembah Klang sejak 16 Julai lalu menyaksikan sebanyak 96.7 peratus penduduk dewasa telah pun menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, sebanyak 1.655 juta janji temu juga telah dikeluarkan antara 26 Julai sehingga semalam.

Sambil menyifatkan operasi itu yang tamat semalam sebagai berjaya, Khairy berkata, seramai 37.5 peratus lagi penduduk dewasa di Lembah Klang telah pun menerima dua dos suntikan vaksin.

“Kita melihat operasi ini telah pun berjaya walaupun tidak mencapai paras 100 peratus.

“Namun begitu, kita telah pun mencapai paras 97 peratus dan baki tiga peratus yang ada akan kita usahakan supaya dapat diselesaikan pada minggu pertama Ogos. Ini mungkin melibatkan mereka yang telah membatalkan janji temu sebelum ini atau pun tidak hadir.

“Baki yang belum memperolehi vaksin akan diselesaikan minggu ini di beberapa pusat pemberian vaksin (PPV) yang telah dikhususkan sama ada menerusi janji temu atau walk-in,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mingguan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) hari ini.

Sementara itu, Khairy memaklumkan CITF akan menumpukan kepada usaha untuk memastikan golongan tercicir dapat menerima vaksin melalui inisiatif menyeluruh.

Pada masa sama, katanya, inisiatif itu termasuk memberi peluang kepada individu yang tidak berdaftar dan mungkin telah membatalkan janji temu menerima vaksin sebelum ini.

Beliau berkata, operasi di Lembah Klang itu akan dilaksanakan menerusi dua kaedah iaitu walk-in ke PPV terpilih dan program jangkau komuniti bagi golongan di pinggir bandar.

Selain itu, beliau memaklumkan, CITF juga telah membuat pengasingan bagi PPV untuk warganegara dan bukan rakyat Malaysia untuk memudahkan kawalan terhadap orang ramai mengambil kira pengalaman di beberapa PPV minggu lalu.

“Saya ingin menegaskan inisiatif walk-in di Lembah Klang hanya untuk penduduk yang bermastautin di sini berlandaskan kepada sasaran dan keperluan untuk melindungi penduduk Lembah Klang yang menjadi pusat penularan wabak ketika ini.

“Inisiatif ini adalah untuk pemberian vaksinasi dos pertama dan tidak melibatkan individu yang ingin mendapatkan dos kedua. Dos kedua akan diberikan mengikut sela masa yang bersesuaian daripada tarikh suntikan dos masing-masing,” jelas beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *