22 Juta Dos Vaksin Covid-19 Telah Diberikan Sejak Februari 2021
2 min read
KADAR pemberian vaksin seluruh negara menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) terus meningkat dari hari ke hari.
Sehingga semalam, secara keseluruhan lebih 22 juta dos vaksin telah pun diberikan sejak PICK bermula penghujung Februari lalu.
Jumlah lebih 22 juta dos atau lebih tepat 22,152,367 dos itu selepas mengambil kira sepenuhnya pelaporan manual termasuk daripada program jangkauan luar komuniti yang dijalankan seluruh negara.
Sarot Omar,65, bersama isterinya Tanggoa Dengong,58, teruja selepas menerima vaksin Covid-19 pada Program Vaksin Komuniti Orang Asli di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak di Kampung Orang Asli Pulau Kempas, Kuala Langat, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid
Namun begitu, pemberian harian vaksin semalam mencatatkan jumlah 483,368 dos.
Pemberian tersebut merangkumi 240,394 bagi dos pertama dan 242,974 lagi untuk suntikan kedua vaksin COVID-19.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, seramai 14,711,532 individu telah pun menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin yang mewakili 45 peratus daripada jumlah penduduk negara.
Dr. Adham memaklumkan, daripada jumlah keseluruhan, sebanyak 7,440,835 orang telah melengkapkan dua suntikan vaksin yang mewakili 22.8 peratus penduduk.
Bagi dua dos vaksin, Lembah Klang terus mencatatkan pemberian tertinggi melibatkan 2.545 juta atau 30.2 peratus populasi, katanya menerusi infografik yang dimuat naik ke akaun Twitter miliknya hari ini.
Beliau berkata, ia diikuti liputan 1.389 juta (49.4 peratus populasi) di Sarawak; 497,513 (19.8 peratus populasi) di Perak; 483,866 (12.8 peratus populasi) di Johor; dan sebanyak 417,174 (10.7 peratus populasi) di Sabah.
Mengulas lanjut, Dr. Adham berkata, Lembah Klang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya juga menjadi penerima tertinggi bagi pemberian satu dos vaksin iaitu sebanyak 6.028 juta.
Selain Lembah Klang negeri penerima dos pertama tertinggi, Sarawak menjadi negeri tertinggi seterusnya iaitu seramai 1.739 juta individu.
Ia diikuti Johor 1.222 juta; Sabah (942,705); Pulau Pinang (805,728) dan Perak (807,609).