December 8, 2022

Pesakit Covid-19 Bayi, Kanak-Kanak Di Kelantan Makin Ramai

1 min read

Pesakit Covid-19 dalam kalangan bayi dan kanak-kanak di Kelantan meningkat di antara 25 hingga 30 peratus dalam tempoh dua minggu ini.

Peningkatan itu membabitkan mereka yang berusia di antara 28 hari sehingga 12 tahun.

Pengarah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir berkata, peningkatan pesakit dalam kalangan bayi dan kanak-kanak adalah melebihi 200 orang berbanding sebelum ini hanya di bawah 130 pesakit saja.

Katanya, peningkatan jumlah pesakit yang berusia di bawah umur 12 tahun itu amat membimbangkan.

“Faktor peningkatan kes disebabkan berlakunya pertambahan jumlah positif Covid-19 dalam kalangan orang dewasa.

“Kanak-kanak ini didapati positif Covid-19 bagi kategori satu dan dua. Mereka kemungkinan besar berjangkit daripada ibu bapa, penjaga atau ahli keluarga yang menjadi kontak rapat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima sumbangan 200 kotak makanan untuk kanak-kanak yang disampaikan oleh Pemilik GMF Ideal Gift Supply, Woon Sneau Huey di PKRC Tanjung Chat di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr Selasawati Ghazali.

Dr Mohd Zurairie berkata, kanak-kanak di bawah umur ini akan ditempatkan di PKRC bersama ibu bapa atau penjaga mereka.

“Jika ibu bapa negatif Covid-19, mereka akan ditempatkan di bilik khas yang kita sediakan di beberapa PKRC untuk mengurangkan risiko jangkitan.

“Beliau menasihatkan kepada semua supaya terus patuh prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk mengekang penularan Covid-19 di negeri ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *