October 3, 2023

Datuk Soh Chin Ann Jadi Pemain Paling Banyak Di Dunia Bermain Di Perlawanan Antarabangsa

2 min read

Datuk Soh Chin Ann (kiri) ketika bermain bola sepak dalam satu perlawanan pertunjukan. Walaupun sudah bersara, beliau tetap aktif dalam sukan bola sepak.

 

Pemain legenda bola sepak Malaysia, Datuk Soh Chin Ann membawa nama negara di tempat teratas dunia apabila disenaraikan dalam FIFA Century Club sebagai pemain paling banyak bermain mewakili pasukan kebangsaan dalam perlawanan antarabangsa di dunia.

Pemain berusia 71 tahun itu adalah salah seorang daripada empat legenda kebangsaan termasuk Zainal Abidin Hassan, mendiang Datuk M Chandran dan Datuk Santokh Singh yang disenaraikan FIFA dalam kemas kini terbaharu pada Selasa.

FIFA Century Club adalah eksklusif untuk pemain yang telah bermain sekurang-kurangnya 100 perlawanan antarabangsa.

Chin Ann, yang mewakili Malaysia dari tahun 1969-1984, berada di kedudukan pertama di dunia dengan 195 caps,10 penampilan lebih banyak daripada Bader Almotawaa dari Kuwait yang berada di tempat kedua.

Datuk Soh Chin Ann ketika bermain untuk pasukan bola sepak Malaysia.

Antara nama besar lain dalam senarai ‘Top 10’ ialah Sergio Ramos dari Sepanyol (180, tempat kelima), Cristiano Ronaldo dari Portugal (179, keenam) dan Gianluigi Buffon dari Itali (176, kesembilan).

Ronaldo adalah satu-satunya pemain yang mampu memecahkan rekod Chin Ann kerana beliau masih aktif mewakili Portugal dalam arena bola sepak antarabangsa.

Zainal, Chandran dan Santokh masing-masing mengumpulkan 116, 115 dan 100 caps.

Dengan penambahan terbaharu itu, Malaysia berbangga dengan tujuh pemain berada dalam senarai tersebut.

Nama Datuk Soh Chin Ann diletakkan paling atas dengan paling banyak penampilan di peringkat antarabangsa. Cristiano Ronaldo dilihat mampu memecahkan rekod Chin Ann tidak lama lagi.

Datuk Abdul Shukor Salleh (163), Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari (138) dan Mendiang Datuk R. Arumugam (131) merupakan yang pertama tersenarai, berdasarkan kemas kini pada Mei lalu.

Walaupun penampilan keseluruhan Chin Ann bersama skuad kebangsaan ialah sebanyak 252 kali seperti yang direkodkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), namun hanya 195 daripadanya dikira sebagai pertandingan kelas A.

Chin Ann yang juga kapten skuad Malaysia dari tahun 1975 hingga bersara pada tahun 1984 ternyata amat gembira dengan berita itu.

“Terima kasih FIFA dan FAM atas pengiktirafan ini. Saya berasa cukup terharu atas pengesahan rekod ini.
“Menjadi pemain dengan jumlah penampilan paling banyak dunia adalah penghargaan tertinggi buat saya,” katanya. – SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *