December 8, 2022

‘Hotel Mayat’ Di Surabaya Ini Bertaraf Tujuh Bintang!

1 min read

Sebuah pusat penyimpanan mayat di Surabaya, Indonesia menjadi tular kerana keunikan reka bentuk bangunannya yang dibina seperti sebuah hotel mewah bertaraf tujuh bintang, lapor laman berita Suara.com hari ini.

Kemudahan Grand Heaven itu jika dilihat dari luar kelihatan sama seperti hotel mewah yang lain, namun kemudahan yang disediakan, perkhidmatan serta reka bentuk dalamannya membuatkan ramai yang sukar mempercayai bahawa ia merupakan sebuah pusat penyimpanan mayat.

Dalam satu video yang dimuat naik TikTok, seorang pengguna menunjukkan keadaan sebenar di dalam hotel tersebut.

Terdapat satu ruang utama yang dikatakan merupakan ruang penyimpanan mayat yang kelihatan amat mewah.

Selain itu, terdapat tiga jenis bilik yang disediakan iaitu Suite Presiden, Bilik VVIP dan Bilik Suite.

Suite Presiden dilengkapi dengan kemudahan bilik tidur, set dapur, bilik mandi, ruang tamu dan televisyen yang disewakan pada harga 100 juta rupiah (RM29,491) untuk satu malam.

Menurut laporan portal Akurat.co, Grand Heaven turut mempunyai ruangan tempat penyimpanan abu mayat serta lokasi pengebumian.

Kemudahan yang disediakan merangkumi setiap proses mengurus pengebumian, bermula daripada peti simpanan mayat, membawa dan membakar mayat.

Video yang dimuat naik itu menerima pelbagai komen daripada netizen dengan ramai yang menyamakan kemudahan itu seperti dalam drama popular Korea, Hotel Del Luna.

“Ternyata Hotel Del Luna itu wujud,” komen seorang pengguna.

“Saya pernah terbaca bahawa terdapat perkhidmatan spa buat mayat di hotel ini,” kata seorang lagi. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *