80% Kematian Di Luar Hospital Tidak Pernah Jalani Ujian Saringan Covid-19
1 min read
Kementerian Kesihatan memaklumkan kira-kira 80 peratus kes meninggal dunia di luar hospital atau brought-in-dead (BID) yang dilaporkan di seluruh negara dikesan tidak pernah menjalani ujian saringan Covid-19.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Chong Chee Kheong berkata, sebahagian besar kes terbabit adalah membabitkan warga asing.
“Kami dapati kira-kira 80 peratus kes BID membabitkan mereka yang tidak pernah mendapat akses saringan Covid-19 atau tidak pernah tampil untuk diuji.
“Baki 20 peratus kes lagi membabitkan mereka yang disahkan positif Covid-19 tetapi lewat tiba di hospital dan gagal hadir ke hospital. Ketika ini, negara melaporkan kira-kira 80 hingga 100 kes BID setiap minggu,” katanya dalam sidang akhbar khas secara maya di sini hari ini.
Justeru katanya, amat penting bagi setiap individu untuk melengkapkan aktiviti penilaian kesihatan di aplikasi MySejahtera bagi memudahkan pemantauan.
Dalam pada itu, Chee Kheong berkata, mereka yang mempunyai gejala ringan atau tidak perlu datang ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) hanya perlu melakukan kuarantin di kediaman masing-masing.
“Berdasarkan data dikeluarkan, kira-kira 60 peratus kes positif tidak mempunyai simptom manakala 30 peratus pula hanya mengalami gejala ringan.
“Oleh itu, hanya 10 peratus sahaja kes positif yang perlu dinilai secara fizikal dan mereka dikehendaki hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC),” katanya.
Katanya, sejak diperkenalkan pada 21 Julai lalu, tahap penggunaan CAC dalam kalangan masyarakat semakin meningkat.
“Seramai 43,000 individu berjaya dipantau oleh CAC setakat 2 Ogos lalu di mana separuh daripadanya dipantau secara maya,” katanya.