August 13, 2022

Bekas Penyelia Kilang Didakwa Hantar Komunikasi Jelik Berkaitan Vaksin

2 min read

Seorang bekas penyelia kilang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan menghantar komunikasi jelik melibatkan Kementerian Kesihatan berhubung kesan pengambilan vaksin.

Bagaimanapun tertuduh, Muhammad Zaki Omar, 36, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim M.M Edwin Paramjothy.

Bapa lima anak itu sebelum ini pernah didakwa atas kesalahan di bawah Ordinan Darurat kerana menyebar berita palsu berhubung kematian seorang anggota polis akibat vaksin.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Zaki didakwa secara sedar memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya terhadap Kementerian Kesihatan dan kesan pengambilan vaksin dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Facebook dengan menggunakan nama profil ‘Muhammad Zaki Omar’.

Hantaran itu dibuat pada 4 April lalu, pukul 8.44 malam yang kemudian dibaca pada pukul 11.30 pagi keesokannya di kementerian itu di Putrajaya.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, Muhammad Zaki yang diwakili peguam Asiah Abd. Jalil memohon mahkamah mengenakan jaminan yang rendah dengan alasan dia kini tidak bekerja dan menanggung lima orang anak.

“Sebelum ini, tertuduh bekerja sebagai penyelia kilang di Singapura dengan berpendapatan RM10,000 sebulan.

“Selain itu, tertuduh juga telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, Perak berkaitan Ordinan Darurat dan pasport tertuduh juga telah diserahkan kepada mahkamah,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Oktober ini untuk sebutan kes.

Pada 2 Ogos lalu, Muhammad Zaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar atas pertuduhan menyebar berita palsu kematian seorang anggota polis akibat suntikan vaksin Covid-19, April lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021 di mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.