August 12, 2022

Bomba Tolong Keluarkan Mayat Mangsa Covid-19 Dari Rumah

1 min read

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan khidmat khas dengan membantu mengeluarkan mayat seorang lelaki yang meninggal dunia akibat Covid-19 di kediamannya di Taman Indah Jaya, semalam.

Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis berkata, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Penchala dikerah ke kediaman mangsa untuk membantu mengeluarkan mayat.

“Petugas yang lengkap berpakaian pelindung diri (PPE) membantu membawa turun mayat yang berada di bilik tingkat satu, rumah teres dua tingkat itu.

“Kematian mangsa yang berusia 41 tahun itu disedari ahli keluarganya kira-kira pukul 12.30 tengah hari,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, mangsa disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian calitan pada 29 Julai lalu.

“Selain mangsa, dua lagi adiknya turut dijangkiti virus sama dan menjalani kuarantin di kediaman berkenaan atas arahan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Sebelum meninggal dunia, keluarga memaklumkan mangsa mengalami kesukaran bernafas dan meracau kira-kira pukul 5.30 pagi sebelum tidak sedarkan diri,” ujarnya.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.