August 13, 2022

Jalur Gemilang Perlu Dimuliakan, Kata Saifuddin

2 min read

Jalur Gemilang, sebagai lambang kebesaran negara harus dimuliakan dan tidak boleh diganggu imejnya, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata penggunaan Jalur Gemilang sebagai bendera Malaysia itu mempunyai kaedah tertentu yang perlu dipatuhi.

“Ada waktunya timbul khilaf dari segi bagaimana kita memasang dan mempamerkan bendera. Sebagai contoh kita selalu tengok, ada masa kami pun zaman dahulu buat silap ini. Kita ada banner, dan di belakang banner itu ada bendera. Di depan bendera itu ada macam-macam tulisan, muka orang…ini kita tidak galakkan. Kalau bendera, ia kena berdiri tegak sendiri.

“Sama juga dengan soal pakaian, kita tak galakkan untuk ia dijadikan sebagai pakaian, tapi kalau menggunakan warna bendera untuk buat pakaian itu boleh. Kalau kita nak guna bendera itu mesti secara penuh…tidak boleh (guna) separuh dan sebagainya, yang itu kita tidak galakkan,” katanya dalam wawancara sempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2021 yang disiarkan di TV1 hari ini.

Sehubungan itu Saifuddin berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melalui Jabatan Penerangan telah menerbitkan sebuah buku khusus untuk memberi penerangan mengenai simbol-simbol negara seperti panji-panji Diraja, Jata Negara dan Jalur Gemilang.

Menurutnya menerusi buku itu rakyat boleh merujuk kaedah sebenar penggunaan simbol-simbol itu dan tidak lagi berlaku kesilapan.

Mengenai sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2021, Saifuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021 berkata pelbagai pengisian telah disusun bagi menyemarakkan sambutan pada tahun ini antaranya program bual bicara, filem, dokumentari, pertandingan keceriaan, fotografi, sayembara sajak, pertandingan bercerita, pertandingan bintang patriotik, TikTok Ilham Merdeka dan sebagainya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Luar Negeri yang bersama-sama membantu dalam menyemarakkan sambutan dengan menyediakan video bersama diaspora Malaysia di seluruh dunia yang akan disiarkan pada 31 Ogos ini.

Sementara itu beliau berkata tema ‘Malaysia Prihatin’ sekali lagi dikekalkan bersesuaian dengan situasi ketika ini yang melambangkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat berbilang kaum yang tabah dalam mendepani cabaran pandemik COVID-19 sejak tahun lepas.

“Walaupun kita masih bergelut dengan pandemik COVID-19, kita perlu sama-sama raikan Hari Kebangsaan untuk zahirkan semangat patriotik kepada negara. Tema ini tepat bagi menyampaikan mesej bahawa kerajaan terus prihatin terhadap kebajikan rakyat. Kita (kerajaan) mahu melihat rakyat sentiasa bersatu padu walau dalam apa keadaan sekalipun,” katanya.

Katanya, tidak kira sama ada sambutan diadakan secara fizikal atau maya, semangat memperingati tarikh keramat 31 Ogos perlu sentiasa melekat dalam jiwa rakyat di negara ini.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.