November 29, 2022

Sila Beli Kit Ujian Kendiri Covid-19 Yang Diluluskan KKM Saja – KPDNHEP

1 min read

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyarankan orang ramai hanya membeli kit ujian kendiri diluluskan pihak berkuasa.

Ia susulan ada farmasi tempatan didapati menawarkan kit ujian yang bukan daripada enam syarikat diberi kelulusan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia (MDA).

“Ada aduan pengguna mengenai penjualan kit itu dijual pada harga RM60 seunit di sebuah farmasi di Terengganu yang mendapat bekalannya dari sebuah farmasi lain di Pahang.

“Pemeriksaan mendapati farmasi di Terengganu telah mematuhi penandaan harga ke atas produk bagi membolehkan pengguna membuat keputusan,” kata KPDNHEP menerusi kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, kata kenyataan itu, farmasi di Pahang itu membekalkan kit ujian yang bukan dalam enam syarikat diberi kelulusan MDA.

“Pengguna disarankan lebih berhati-hati sebelum membeli kit ujian tersebut dengan membuat rujukan melalui laman sesawang rasmi MDAi iaitu melayari https://portal.mda.gov.my/ sebelum membuat pembelian,” kata kenyataan itu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba pada 3 Ogos lalu mengesahkan enam kit ujian kendiri diluluskan, manakala 14 lagi sedang menjalani ujian prestasi makmal terpilih ketika ini.

Penjualan kit berkenaan dijangka mampu mengurangkan kesesakan teruk di premis saringan dan mengelak berlaku penularan wabak selain boleh dijadikan pemeriksaan kendiri di rumah.

Leave a Reply

Your email address will not be published.