August 15, 2022

Reezal Merican Bangga Dengan Sukan Berbasikal Negara

2 min read

“Terima kasih Datuk Azizul (Hasni Awang) kerana berikan khabar gembira buat rakyat Malaysia. Saya bangga sangat dengan anak Terengganu ini.

“Saya rasa semua rakyat menyaksikan bagaimana dia cuba untuk memberikan pingat buat negara,” kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang turut berada di Velodrom Izu, Tokyo menyaksikan kejayaan pelumba negara itu.

Tamatnya acara keirin itu bermakna Malaysia menamatkan aksi di temasya Olimpik Tokyo kali ini dengan kejayaan meraih satu perak dan satu gangsa.

Biarpun Malaysia gagal mencapai sasaran, membawa pulang emas sejak penyertaan pertama Malaysia di temasya itu pada 1956, Reezal tetap memuji kesungguhan barisan atlet negara yang berjuang dengan penuh kesungguhan dan iltizam yang tinggi ketika dunia berdepan dengan pandemik.

“Jika dilihat dari pungutan pingat dari 1992 hingga 2016, ini adalah keputusan kedua terbaik kita di Olimpik. Perlu diingat kita tak ada pingat di Olimpik Sydney 2020 dan Athens 2004.

“Kejayaan kedua terbaik kita adalah di London iaitu satu perak menerusi Datuk Lee Chong Wei dan gangsa Pandelela Rinong.

“Alhamdulillah, kita mengulangi pencapaian kedua terbaik yang dilakukan walaupun serba-serbi kepayahan,” katanya.

Reezal berkata, beliau menyaksikan bagaimana Azizul yang pada satu ketika berada di kedudukan kedua di belakang cuba untuk kejar Jason Kenny yang ketika itu sudah jauh di depan dan akhirnya menamatkan saingan dengan pingat perak.

“Kerana Azizullah saya berani meletakkan sasaran untuk negara pada temasya kali ini. Kesungguhan, iltizam, kemahuan yang dia tunjukkan itu saya bangga sangat dengan dia.

“Menang perak itu satu hal tapi berada di velodrom ini menyaksikan semangat juang dan perjuangan dia malah Azizul sendiri mendapat sokongan dan tepukan gemuruh bukan daripada kami kontinjen negara tapi dari seluruh penonton Jepun yang berada di Velodrom Izu ini.

Dalam perkembangan yang sama Reezal turut memuji dan berterima kasih kepada seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi.

Dalam keadaan yang tidak cergas 100 peratus, Shah Firdaus tetap tampil untuk cuba beraksi buat negara.

“Kepada Shah Firdaus teruskan perjuangan. Anda adalah satu lagi sebutir permata yang dihasilkan dalam sukan berbasikal ini.

“Tunggu Paris 2024, Malaysia akan lebih menyinar dalam sukan berbasikal ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.