Tiga Lagi Kes Positif Covid-19 Berkaitan Dewan Rakyat
2 min read
Tiga lagi kes positif Covid-19 baharu melibatkan Dewan Rakyat sekali gus menjadikan menjadikan jumlah terbaharu yang dijangkiti seramai 88 individu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tiga kes baharu itu dikesan berkaitan semasa persidangan Dewan Rakyat antara 26 hingga 29 Jun membabitkan kontak rapat dengan 17 kes sudah dilaporkan sebelum ini menjadikan jumlah terkini sebanyak 20 kes.
Kes membabitkan saringan Pra Dewan Rakyat dan Pra Dewan Negara masing-masing kekal dengan 60 dan lapan kes setakat ini.
Beliau berkata, tiga kes baharu telah dilaporkan semalam mempunyai nilai kitaran ambang atau CT value RT PCR di antara 19.15 sehingga 22.27 yang bermaksud kadar kebolehjangkitan yang tinggi).
Katanya, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sedang menjalankan jujukan genom penuh dan masih menunggu keputusan akhir.
“Kesemua mereka mempunyai gejala ringan dan sebelum ini telah pun mendapat vaksin lengkap. Hasil siasatan mendapati mereka juga telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan kuarantin kendiri setelah pulang dari sidang Parlimen supaya tidak menjangkiti ahli keluarga.
“Siasatan untuk mengenal pasti kontak rapat semasa persidangan diteruskan pejabat kesihatan daerah berkenaan.
“Semua individu yang hadir ke Parlimen dinasihati untuk terus memantau kesihatan kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera. Sekiranya bergejala, jalani ujian saringan Covid-19 dan mendapatkan rawatan segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Utusan Online sebelum ini melaporkan Noor Hisham mendedahkan terdapat keseluruhan 85 kes positif yang telah dikesan berkaitan dengan Sidang Mesyuarat Khas Parlimen yang diadakan selama empat hari bermula 26 Julai lalu.
“Kes melibatkan dalam kalangan individu yang hadir ke sidang dan juga kontak rapat kes positif yang termasuk 17 kes yang telah dikesan berkaitan persidangan Dewan Rakyat yang terdiri daripada individu yang hadir ke sidang dan kontak rapat,” katanya.
Susulan penemuan kes positif, ahli-ahli Parlimen menerima surat daripada Setiausaha Dewan Rakyat yang memaklumkan penangguhan persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Penangguhan itu dibuat selaras cadangan Ketua Pengarah Kesihatan serta penilaian risiko semasa yang mendapati Parlimen merupakan lokaliti berisiko bagi penularan jangkitan Covid-19.